Lakarkan Kebangkitan Semula UMNO, Bawa Isu Luar Biasa Untuk Rakyat – Hasnal Rezua Merican
SELAYANG, 16 Julai – UMNO perlu keluar dari kepompong selesa atau bergerak secara biasa sebaliknya memikirkan kaedah lebih baik untuk capai keberhasilan yang luar biasa untuk bangkit kembali dalam arena politik negara, kata Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican.
Katanya, UMNO perlu terkehadapan memperjuangkan beberapa isu yang terkait dengan patriotisme tetapi tidak menjadi pengamal politik sempit di mata rakyat
“Saya yakin kepimpinan UMNO yang ada termasuk para penyokong parti boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk kebangkitan semula. Kita jangan bawa perkara yang biasa-biasa dan jangan bercakap pada media soal mengisi agenda biasa-biasa yang selalu diketengahkan kalau mahukan keberhasilan luar biasa.
“Kebangkitan UMNO perlu dilaksana dengan keluar dari kepompong selesa dan bergerak secara biasa. Kita tidak boleh lakukan yang biasa-biasa untuk capai keberhasilan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam mesyuarat UMNO Bahagian Selayang yang berlangsung pada Ahad.
Ujar beliau, anggota parti di akar umbi perlu fokus kepada usaha memperkukuhkan kepada kekuatan sendiri.
“Jangan terlalu memikirkan hala mana kita nak pergi, jangan jadikan itu isu utama… nak pergi solo atau nak pergi dengan bergabung pun kerana kita mesti kuat dahulu. Kalau kita tidak kuat kita pergi dengan siapa pun kita punya nasib begitulah saja dan mereka tidak akan ubah nasib kita.
“Di kalangan mereka yang bersama dengan kita hari ini semuanya pernah menjadi musuh kita dulu maka kita tidak mahu kembali kepada perkara asal jadi kita perlu cuba mencari dan hidupkan tindakan yang luar biasa.
“Lompang perjuangan yang ada perlu diisi untuk kita bawa dengan mengetengahkan isu-isu patriotisme ini boleh dilihat rakyat sebagai perjuangan untuk memperkukuh kekuatan kita… jadi jangan sembang sangat siapa pasangan kita kerana kalau kita dah kuat kita pergi sendiri pun menang sebaliknya kalau kita tak kuat pergi dengan kawan dan lawan pun maka kita terperuk di tempat kedua, ketiga, keempat maka tak guna juga sebenarnya.”
Terdahulu, Hasnal Rezua Merican turut melahirkan rasa syukur kerana mesyuarat UMNO Bahagian Selayang yang melibatkan seramai 433 orang perwakilan berlangsung lancar dengan dirasmikan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya bersyukur kerana majlis perasmian UMNO Bahagian Selayang telah selesai dan antara intipati ucapan perasmi ialah beliau mengajak kita mengimbas kepada situasi politik Malaysia sebelum 1998 dan fasa 1998 sehinggalah ke 2008 apabila beberapa negeri hilang dari Barisan Nasional dan kemudian pada 2018 bila kita kalah.
“Ketika itu politik kebencian mula ditanamkan oleh pihak lawan namun apabila mereka mendapat kuasa malangnya tak ada solusi pada rakyat.
“Ini adalah ucapan yang sangat berterus terang selain itu banyak memberi peringatan untuk bekerjasama dan bersatu padu dengan teruskan memberi khidmat di lapangan,” katanya lagi. – UMNO Online