Kerajaan Pertimbang Pindaan Kanun Keseksaan, Peruntukan Spesifik Untuk Kesalahan Buli Siber – Azalina
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik dan khas untuk kesalahan buli siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata cadangan pindaan ini memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’, akan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai suatu kesalahan di Malaysia secara spesifik.
“Bersama dengan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) juga akan meneliti pindaan berbangkit ke Kanun Tatacara Jenayah untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ini kerana terdapat kelompangan undang-undang berkenaan dengan isu ini dan menyedari perkara ini dengan mengambil keperluan mendesak bagi penyelesaian segera.
Menurut beliau, meskipun terdapat beberapa peruntukan di bawah perundangan sedia ada termasuklah di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563], namun didapati peruntukan-peruntukan yang sedia bersifat umum dan tidak memperuntukkan kesalahan “buli siber” secara khusus dan nyata.
Ia sekaligus menyebabkan unsur-unsur jenayah di bawah peruntukan kesalahan sedia ada menyukarkan penyiasatan dan pendakwaan di samping berkemungkinan menjadi antara penyebab orang ramai mengambil isu buli siber secara ringan, lantas mengakibatkan isu ini terus berleluasa.
“Kerajaan juga sedang memperhalusi dasar bagi cadangan penggubalan suatu rang undang-undang baharu dengan matlamat utama untuk meningkatkan tahap kebertanggungjawaban penyedia perkhidmatan dalam talian mengenai isu-isu keselamatan dalam talian, khususnya kandungan yang memudaratkan yang melibatkan mangsa kanak-kanak, termasuklah isu buli siber.
“Antara lain, cadangan penggubalan rang undang-undang baharu ini juga akan memberikan kuasa baharu kepada pihak berkuasa untuk melindungi semua pengguna internet khususnya kanak-kanak, melalui kerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan dalam talian,” ujar beliau.
Katanya lagi, BHEUU JPM akan menggariskan parameter, proses kerja dan mekanisme yang jelas kepada penyedia perkhidmatan dalam talian, supaya antara lain, operasi pencegahan yang dilaksanakan pihak berkuasa teratur dan menggariskan tanggungjawab serta peranan para penyedia perkhidmatan dalam talian.
“Dalam usaha ini, sesi libat urus yang menyeluruh akan dilaksanakan BHEUU, JPM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital supaya pandangan dan maklum balas semua pihak berkepentingan diambil kira bagi memastikan semua cadangan pindaan yang dilaksanakan kelak adalah berkesan dan memenuhi keperluan negara.
“Usaha reformasi undang-undang ini menggambarkan iltizam Kerajaan untuk menangani isu ini demi kemaslahatan rakyat,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu turut sama menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Rajeswary Appahu yang telah menjadi mangsa kepada pembulian siber sambil menyifatkan peristiwa tersebut amat memilukan hati. – UMNO Online