UMNO Terus Dapat Keyakinan… Sama-Sama Cari Jalan Tingkat Sokongan Rakyat- Rais

TANGGA BATU, 15 JULAI – Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Rais Yasin percaya dan penuh yakin parti berkenaan bukan sahaja tetap relevan malah medapat kepercayaan dari ahli pelbagai peringkat.

Namun katanya apa yang utama dan penting adalah untuk menambahkan lagi keyakinan masyarakat di luar sana terhadap UMNO termasuklah di Tangga Batu.

“Alhamdulillah. Selesai berlangsung Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu. Saya hadir selaku Ketua UMNO Bahagian yang dijemput untuk merasmikan acara pembukaan.

“Melihat kehadiran para perwakilan yang memberangsangkan hingga memenuhi dewan, saya yakin dan percaya UMNO tetap relevan dan masih berbisa di Tangga Batu. Namun, apa yang penting adalah kita harus memikirkan resolusi dan solusi terbaik bagi meyakinkan rakyat agar kembali ke pangkuan Parti Keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Tangga Batu, di sini, Ahad.

Beliau seterusnya menekankan agar seluruh ahli di Tangga Batu mengetepikan sebarang pertelingkahan dan terus bergerak ke depan dengan langkah yang tersusun.

“Apa pun betapa penting untuk seluruh akar umbi UMNO Tangga Batu bersatu dan ketepikan sebarang bentuk perselisihan. Ingatlah, parti ini ditubuhkan untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam, termasuklah rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Maka UMNO mesti melaksanakan amanah kepimpinan dengan sebaiknya supaya kepentingan rakyat terus terjaga. Insya-Allah, saya menyeru agar semua perwakilan menjadikan mesyuarat berkenaan sebagai platform terbaik untuk kita bermusyawarah dengan rasa muhhibbah dan harmoni.

“Semoga segala usaha murni dan semangat juang para perwakilan demi memartabatkan Parti UMNO akan dibalas ganjaran pahala di sisi Ilahi. Teruskan perjuangan, UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.