Terapkan Kesepakatan UMNO, Kerja Keras Pastikan Sokongan Berterusan – Awang Aslee
BEAUFORT, 15 Julai – Ahli-ahli UMNO dalam pelbagai peringkat perlu menerapkan kesepakatan bagi memastikan sokongan dan dukungan rakyat kembali kepada Barisan Nasional (BN) lantas beroleh kemenangan dalam pilihan raya.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kesepakatan di kalangan anggota parti dari kepimpinan atas hingga ke bawah, ahli jawatankuasa empat peringkat, ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), ketua-ketua cawangan hinggalah kepada para penyokong parti perlu terus dikekalkan.
“Semua pihak perlu kekalkan kesepakatan, apa-apa perkara perlu kita lestarikan dalam bentuk tindakan, pendekatan mesra dan lebih meyakinkan agar rakyat akan terus memberikan sokongan yang padu kepada UMNO/BN lantas memilih kita dalam pilihan raya kelak,” katanya.
Dalam hal ini, beliau kembali menyorot bagaimana keadaan UMNO Bahagian Beaufort yang dianggap bakal berkubur apabila krisis politik melanda dan banyak pihak meninggalkan parti.
Kerana telah terbukti, sebelum ini orang mengatakan bahawa UMNO Bahagian Beaufort telah tiada, telah mati api apabila kita letak calon dan akur dengan kepimpinan parti, ketua-ketua Cawangan, ahli-ahli UMNO dan seluruh jentera bahagian ini sebulat suara bekerja maka kerusi Parlimen yang kita tandingi beroleh kemenangan.
“Saya masih ingat lagi, kita minta kepimpinan atas agar Parlimen ini diberikan kepada UMNO. Kita mahukan rakyat ada tempat berpaut dan tempat berpaut itu adalah UMNO malah ahli-ahli serta rakyat sendiri merasainya.
“Kita bersatu, kita berusaha dan akhirnya kita beroleh kejayaan apabila Parlimen Beaufort dimenangi oleh Datuk Siti Aminah Anching yang kita sokong dari segenap penjuru iaitu semua pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk beroleh kemenangan.”
Katanya, kejayaan dalam Parlimen Beaufort itu adalah bukti tepat bahawa segalanya akan dapat diatasi apabila bersepakat dan bersatu padu.
“Kemenangan itu bukan milik perseorangan tapi kemenangan ini adalah usaha keras seluruh anggota parti di sini.
“Oleh itu jangan kita leka, jangan mengkhianati kepercayaan yang diberi oleh ahli-ahli Cawangan, ahli-ahli UMNO di akar umbi dan para penyokong kita di bahagian ini.
“Kita perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik, kita perlu membantu walaupun kita banyak kekangan tapi kita perlu terus berkorban demi parti dan bantu rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Beaufort yang berlangsung pada Sabtu. Persidangan terbabit telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. – UMNO Online