Dasar TVET Antara Perjuangan UMNO, Hayati Bersatu, Bersetia, Berkhidmat Formula Kebangkitan Parti – Dr Asyraf

RAUB, 14 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menegaskan keberadaan parti itu bersama Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan pelbagai dasar dirancang dan dilaksanakan.

Katanya, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, keberadaan UMNO/BN dalam kabinet Kerajaan Perpaduan menunjukkan para pemimpin yang dilantik melaksanakan tugas sebaiknya untuk kepentingan rakyat.

“Sebagai contoh terdekat … baru-baru ini, Perdana Menteri telah melancarkan Dasar TVET Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“Dasar TVET yang baharu ini bertujuan untuk memperluas akses pendidikan dan latihan vokasional, dengan memfokuskan kepada anak-anak yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Anak-anak berumur 16 tahun yang boleh membaca, menulis, dan mengira, kini boleh mengikuti kursus TVET selama tiga tahun untuk mendapatkan sijil. Seterusnya, mereka boleh menyambung pengajian di Institut Kemahiran Mara untuk mendapatkan diploma dan ke peringkat seterusnya

“Dengan dasar ini, anak-anak yang tidak ada SPM mempunyai peluang lebih luas untuk melanjutkan pengajian mereka dan mencapai tahap pendidikan lebih tinggi.

“Dasar TVET yang baharu ini merupakan bukti komitmen UMNO dalam memperjuangkan kepentingan anak-anak Melayu dan Bumiputera. Dasar ini memberikan peluang kedua kepada mereka yang mungkin tidak cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai kemahiran dan potensi untuk berjaya dalam bidang vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Raub, di sini petang tadi. Turut serta Ketua UMNO bahagian, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan kepimpinan bahagian yang lain.

Meneruskan ucapannya, beliau seterusnya berharap  agar ahli parti menghayati sepenuhnya cogan kata UMNO iaitu Bersatu, Bersetia Berkhidmat.

“Kita perlu memahami punca sebenar kekalahan kita ..  yang berpunca dari persengketaan dalaman dan sikap ‘kalau aku tak dapat, biar semua tak dapat’. Mentaliti sebegini hanya merosakkan usaha perjuangan kita untuk agama Islam, orang Melayu, dan seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam ucapan awal tadi saya menyebut bahawa kekalahan ini mungkin merupakan isyarat daripada Allah untuk kita muhasabah diri dan membetulkan kembali niat dan perjuangan kita. Walaupun isyarat ini mungkin betul atau tidak, saya yakin ia adalah petunjuk untuk kita memperbaiki diri.

“Hari ini secara logik politik, kita hanya mempunyai 30 kerusi tetapi kita masih berpeluang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri utama. Ini adalah peluang yang harus kita manfaatkan untuk memperbaiki dan membina bersama negara ini.

“Kita perlu bersatu dan menghapuskan persengketaan dalaman serta mengutamakan kepentingan rakyat. Hanya dengan kerjasama dan komitmen yang teguh, kita dapat mengembalikan kekuatan serta kepercayaan rakyat kepada UMNO. Ini bukan soal individu atau jawatan, tetapi soal perjuangan bersama untuk masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.