Dasar Perjuangan UMNO Konsisten Meskipun Bersama Kerajaan Perpaduan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Prinsip dan dasar perjuangan UMNO masih tetap konsisten meskipun bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan sejak 18 bulan yang lalu, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Tegasnya, kejayaan pemimpin UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan mengangkat resolusi Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu untuk dilaksanakan dalam negara dan kemudian menjadi dasar membuktikan komitmen mereka dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Pengiktirafan terhadap perjuangan kepimpinan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah amat penting. Kejayaan mengangkat resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu ke dalam dasar-dasar negara, seperti memperkasakan sektor TVET, mewujudkan dasar tahfiz negara, dan menjaga kebajikan pekerja gig, menunjukkan komitmen yang kuat dari kepimpinan UMNO dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Peranan aktif UMNO dalam Jawatankuasa Majlis Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Gig memperlihatkan kesungguhan mereka dalam memastikan cadangan-cadangan yang dibawa oleh perwakilan dapat direalisasikan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa UMNO terus memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, seiring dengan prinsip diamalkan oleh parti.

“Dasar perjuangan UMNO tetap konsisten walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan. Ini dapat dilihat melalui inisiatif-inisiatif yang diambil, seperti Dasar Tahfiz Negara yang bertujuan untuk mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama.

“UMNO telah berjaya memperkenalkan program yang mengintegrasikan pendidikan tahfiz dengan kemahiran teknikal, menjadikan huffaz yang boleh bekerja dalam bidang profesional seperti kejuruteraan.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO terus memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan nilai-nilai dan prinsip parti,” katanya lagi.

Pada PAU 2023 yang berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun pada tahun lalu telah dibentangkan resolusi untuk memperkasakan sektor TVET, mewujudkan dasar tahfiz negara, dan menjaga kebajikan pekerja gig.

Resolusi tersebut telah dibentangkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar dan ia disokong sebulat suara oleh para perwakilan.

Beliau yang juga memegang peranan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam kabinet Kerajaan Perpaduan telah berjaya melaksanakan segala resolusi dibentangkan dan diangkat sebagai dasar negara.

Pada 11 Mac 2023, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia telah diselaraskan dengan pihak kerajaan setiap negeri.

Selain itu, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bakal ditubuhkan dalam tempoh dua bulan lagi dan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Cadangan penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu bermula dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.