UMNO Ikrar Teruskan Agenda Perkasa Pelajar Tahfiz, Tingkatkan Kebolehpasaran Dalam Pelbagai Bidang TVET

KUALA LUMPUR, 12 Julai – UMNO berikrar untuk meneruskan agenda memperkasa pelajar Tahfiz dalam membentuk laluan kerjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pelbagai bidang Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET).

Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendekatan itu sekaligus mampu menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa para pelajar Tahfiz ini tiada masa hadapan yang cerah dan tiada jaminan pekerjaan.

“Alhamdulillah nasib para Tahfiz kini sekali lagi UMNO bela. Mara melalui agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi nafas baharu kepada para pelajar Tahfiz ini.

“Mara telah memulakan moden TVET Tahfiz melalui pusat-pusat GiatMARA di seluruh negara. Mereka kini diberi peluang untuk mempelajari ilmu kemahiran dalam pelbagai bidang TVET,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata syarat kemasukan minimum hanya bermula dengan 3M (membaca, menulis dan minat) sekaligus memberi nafas baharu kepada pelajar-pelajar ini.

Katanya, langkah ini dilakukan untuk menyediakan ilmu kemahiran bagi menjamin masa hadapan mereka.

“Mudah-mudahan matlamat kita untuk memprofesionalkan golongan hufaz dan menambah nilai golongan hufaz di negara ini melalui program TVET Tahfiz MARA akan kita perluaskan dan perkasakan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata anak-anak Tahfiz ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke TVET supaya mereka juga mampu mendapat kerja dalam bidang teknikal atau kejuruteraan, di samping mengukuhkan lagi bidang agama.

Pada 30 Mei lepas, beliau juga dilaporkan berkata, 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Tawaran itu adalah hasil jalinan kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan pihak industri berkaitan TVET di China iaitu Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.