Keberadaan Bersama Kerajaan Perpaduan Perlu Dimanfaat, Perkukuh UMNO – Maslin Sham

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Keberadaan UMNO bersama dengan Kerajaan Perpaduan perlu dimanfaatkan bagi memperkasa parti keramat ini dalam melaksanakan gerak kerja memperkukuh UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman berkata ia juga sebagai platform terbaik bagi mendekati rakyat sekaligus meneruskan agenda UMNO.

“Ini adalah jaminan ataupun satu kenyataan bahawasanya UMNO akan terus dengan prinsip yang sama walaupun hari ini kita ada rakan kongsi yang baru.

“Jadi kita gunakan peluang yang ada pada hari ini dengan rezeki yang Allah SWT bagi untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan ia dapat memudah untuk kita bangun semula.

“Dengan inilah caranya juga kita akan memperkasakan UMNO, insya-Allah diperjelaskan kepada umum supaya tidak ada rasa was-was ragu-ragu dan juga mungkin ada yang rasa kurang percaya dengan jaminan bahawa UMNO akan terus dengan prinsip yang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang diadakan baru-baru ini, dengan kehadiran istimewa oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut sama merasmikan mesyuarat tersebut.

Menggunakan kesempatan tersebut, Maslin meluahkan harapan kepada akar umbi parti untuk terus bersepadu bagi mengangkat kembali parti ini selepas melalui pelbagai cabaran dengan dinamik politik yang kian berubah.

“Kepada ahli akar umbi saya ingin berpesanlah ketepikan titik bengik yang ada. Kita betulkan niat untuk memastikan UMNO ini terus bernafas dengan sihat.

“…dan juga terus dapat berjuang sehingga kita dapat pulihkan kembali seratus peratus UMNO untuk kuat seperti dahulu,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.