Lawatan Kerja: Malaysia Berjaya Raih Potensi Import RM3.31 Bilion – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Malaysia berjaya meraih potensi eksport Malaysia sebanyak RM3.31 bilion dari 14 syarikat pengimport vietnam dalam pelbagai sektor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa pertemuan tersebut adalah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Vietnam dan Malaysia terutamanya dalam bidang pelaburan serta perdagangan.
“Agenda kedua di Ho Chi Minh City adalah Mesyuarat Meja Bulat Malaysia-Vietnam. Alhamdulillah, kita berjaya meraih potensi eksport Malaysia sebanyak RM3.31 bilion dari 14 syarikat pengimport Vietnam dalam pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), kimia/petrokimia, minyak sawit, besi dan keluli, makanan dan minuman serta barangan pengguna.
“Mesyuarat Meja Bulat sudah menjadi satu rutin bagi #TeamMITI apabila kami mengadakan Misi Pelaburan dan Perdagangan ke luar negara. Objektif pertemuan ini juga adalah bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi industri secara terbuka selain memberi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Vietnam, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, peluang tersebut bakal dimanfaatkan oleh agensi-agensi perdagangan dan beliau berhasrat untuk merealisasikan kesemua potensi eksport tersebut secara berdisiplin.
“Peluang ini akan dimanfaatkan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk meneroka jalan baru bagi mengukuhkan hubungan business-to-business (B2B) antara peniaga Malaysia dan Vietnam.
“Insya-Allah, kita akan follow up dan realisasikan kesemua potensi eksport ini secara segera dan berdisiplin,” katanya lagi. – UMNO Online