UMNO Perlu Kembali Kepada Agenda Rakyat, Raih Kembali Sokongan – Reezal Merican

KEPALA BATAS, 9 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata UMNO perlu kembali kepada agenda rakyat agar mereka kembali yakin kepada parti dan dapat menyumbang untuk kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

Ujar beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kita berada bersama Kerajaan Perpaduan namun tetaplah penuhi agenda parti kepada pro-rakyat.

“Kita bersama Kerajaan Perpaduan kerana kita nak kembali kepada agenda rakyat. Kita nak melihat bahawa Kepala Batas ini dipenuhi dengan agenda rakyat iaitu rakyat dapat kembali yakin kepada kita.

“Kalau nak menang maka dasar-dasar perlu dibentuk dan apa-apa perlu pro kepada rakyat. Saya mempunyai keyakinan bahawa apa yang telah diputuskan oleh nenek moyang kita dalam perjuangan dahulu adalah berpaksi agar bangsa kita sentiasa terbela,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam berkata demikian dalam ucapan ketika mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas pada Ahad.

Dalam persidangan yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Reezal meminta agar perwakilan menjadikan mesyuarat terbabit sebagai ruang untuk membina semula kekuatan parti.

“Jadikan mesyuarat ini untuk kita bina balik kekuatan, bina semula apa yang dahulunya kita telah lalui, atas runtuhan-runtuhan, dengan pasukan-pasukan yang baharu agar insya-Allah PRU16 nanti kita beroleh kemenangan.

“Kita perlu tunjukkan kekuatan bersama dengan teman-teman baharu dalam Kerajaan Perpaduan bahawa UMNO masih lagi kuat, masih lagi berpadu, bersatu, bersemangat dan bersedia menawan Kepala Batas untuk kembali kepada kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.