Fokus Kekuatan Parti, Kemenangan PRN Amat Penting – UMNO Lahad Datu

LAHAD DATU, 9 Julai – Amatlah wajar bagi setiap ahli UMNO mengambil semangat untuk memperkukuhkan tekad menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini kerana ia adalah penentu dalam kelangsungan perjuangan parti ini.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul dalam kenyataan selepas berlangsungnya Mesyuarat UMNO Bahagian terbabit yang dilaksana lancar dan teratur pada 30 Jun lalu.

Katanya, PRN Sabah kali ini adalah pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah perjuangan UMNO Sabah.

“Ini bermaksud keutamaan kita jelas. Cakap-cakap tentang gabungan parti tak perlu diendahkan, kita fokus kekuatan parti kita, jangan dilihat pada parti lain. Itu yang akan kembalikan kekuatan kita.

“Maka kita perlu mengambil iktibar dari pengamatan ini. Bersama kita berpadu memerah akal, membanting kudrat kerana tiada pilihan lain buat kita, undur pantang sekali. Inilah amanah perjuangan kita,” katanya.

Terdahulu beliau melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada perasmi Mesyuarat UMNO Lahad Datu iaitu Ahli Majlis Kerja (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii.

“Rumusan kenyataan perasmi Datuk Razlan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Sabah, Bahagian Lahad Datu menyebut semboyan telah dibunyikan, gendang perang dipalu dan wisel permulaan ditiup untuk memberi arahan kepada jentera dan seluruh perwakilan yang hadir untuk sedia menggempur, sedia berlawan dan memastikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya yang dihadapi pada bila-bila masa,” katanya.

Tegas beliau, anggota parti harus sedar dan insaf bahawa perjuangan UMNO tidak ternilai harganya.

“Hamparlah selautan mutiara, segunung emas dan permata, nilai dan maharnya, tidak akan dapat menebus perjuangan UMNO yang telah berjaya mengangkat status negeri Sabah dari perkampungan pekan berpendapatan rendah, kepada bandar dan bandaraya berpendapatan tinggi.”

Sharif Musa juga melahirkan kesyukuran kerana persidangan UMNO Bahagian Lahad Datu yang dilaksana berjalan lancar.

“Alhamdulillah! UMNO Sabah, Bahagian Lahad Datu, telah menunaikan sepenuhnya tanggungjawab Mesyuarat Perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda, dan Puteri. Maka dengan izin-Nya dapat kita menunaikan tugas dan tanggungjawab mengikut Perlembagaan UMMO.

“Pelbagai usul telah dibentangkan, pelbagai pandangan telah diutarakan, pelbagai nasihat ilmu telah diberikan,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.