Rasional Depani Realiti Hari Ini, Senario Politik Makin Berubah – Ahmad Zahid

KOTA MELAKA, 7 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap akar umbi parti di Melaka untuk rasional mendepani realiti politik pada ketika ini, terutamanya dalam mendepani pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk kerusi Parlimen di negeri ini tidak memihak kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) meskipun Pilihan Raya Negeri mencatatkan kemenangan dua pertiga.

“Kita harus bersandar pada kenyataan dalam PRU15 tidak ada satu kerusi Parlimen pun yang kita menang. Ini senario yang kita ada sekarang.

“Meskipun ada kawan-kawan kita dalam komponen Kerajaan Perpaduan ini memegang kerusi Parlimen tertentu tetapi hakikatnya UMNO/BN tidak ada pun satu kerusi Parlimen. Saya ingatkan diri supaya jangan syok sendiri kerana senario telah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Dewan Komuniti Kemas, Jalan Lama Telok Mas, hari ini, dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta timbalannya, Datuk Rais Yasin dan kepimpinan negeri.

Zahid dalam pada itu turut mengingatkan ahli parti untuk tangkas melawan dakyah yang dibawa pembangkang dengan membawa penjelasan berfakta bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Menurut beliau, ini kerana persepsi dimainkan tersebut akan terus dimainkan sehingga matlamat yang diingini mereka tercapai.

“Isu dan sentimen dimainkan oleh seteru politik, kita harus lebih cekap kena lebih bijaksana tangani isu dan sentimen.

“Kerana masanya apabila fitnah tersusun akan mengatasi kebenaran. Hina jika kalah orang boleh melakukan apa saja walaupun kita tidak ada kesalahan sama ada kesalahan sivil atau kesalahan jenayah.

“Lawan kita boleh lakukan apa saja untuk mewujudkan tuduhan-tuduhan di mahkamah kerana persepsi diwujudkan untuk dilemparkan dan dibalik kepada kita,” – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.