Jangan Sesekali Mengalah…Kita Sama-Sama Terus Bergerak Ke Depan – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ketua UMNO bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melihat parti itu perlu terus melangkah ke depan dan jangan sesekali mengalah.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) seterusnya berkata mahu tidak mahu parti itu perlu terus melangkah dan mesyuarat Wanita, Pemuda, Puteri serta UMNO bahagian berkenaan hari ini memperlihatkan suasana yang sebenarnya.
“Hari ini berlangsung Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2024. Pada sebelah pagi tadi, telah diadakan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut oleh adinda saya Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi atau lebih dikenali dengan Along.
“Alhamdulillah. Penuh dewan pagi tadi dengan warna keramat UMNO, warna merah. Wanita Hebat, Pemuda Dengan Cara Kita dan Perkasa Puteri, ternyata semuanya penuh bersemangat.
“Ucapan perasmian Along padat dan penuh dengan pengisian. Membawa suara anak muda, ternyata besar harapan dan perancangan yang sedang digerakkan oleh Puteri dan juga Pemuda,” katanya.
Kata beliau lagi dalam mendepani cabaran politik semasa yang penuh dengan ranjau dan onak duri, sememangnya satu gelombang yang perlu dihadapi oleh kepimpinan dan barisan ahli UMNO ketika ini.
“Bukanlah satu zaman yang senang seperti dulu, tetapi inilah yang perlu kita tempuhi. Mahu atau tidak, UMNO perlu terus melangkah ke depan. Rejuvinasi perlu terus dilakukan. Jangan pernah mengalah kerana masa depan perlu lebih jauh melangkah. Selamat bersidang semua,” ujarnya.- UMNO Online