Kukuhkan Solidariti, Rapatkan Saf Demi Perjuangan Parti – Ahmad Jazlan
PASIR PUTEH, 8 Julai – Kekuatan UMNO terletak pada solidariti dan kesetiaan akar umbi untuk terus bersama berjuang dan seterusnya memperkasakan parti, kata
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan seterusnya turut menasihati jentera parti agar menyahut cabaran dan tanggungjawab yang dipikul untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam tempoh terdekat.
“Kita akan memasuki pilihan raya di Nenggiri dengan solidariti dan sokongan padu yang tidak berbelah bagi daripada jentera UMNO tempatan terutamanya dari UMNO Gua Musang. Kita (jentera parti) telah beri mandat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memilih siapa yang bakal menjadi calon dan siapa kelak yang diputuskan maka itu yang diterima oleh UMNO Gua Musang. Ini adalah satu ‘advantage’ paling besar bagi UMNO/BN.
“Solidariti ini bukan saja pada pilihan raya Nenggiri… tetapi percayalah seluruh kekuatan jentera UMNO/BN akan berkampung di Nenggiri bagi memastikan kita akan meraikan kejayaan di Dewan Merdeka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak lama lagi.
“Jika diizinkan Allah SWT, ini adalah ikrar dan janji UMNO Kelantan untuk merampas kembali DUN Nenggiri. Saya cukup yakin dan optimis…kita lupakan yang lepas pada pilihan raya negeri dan kali ini insya Allah, UMNO/BN akan kembali menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Pasir Puteh, di Dewan Othmaniah, pada Jumaat.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman, Setiausaha Agung UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian, UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan kepimpinan UMNO bahagian serta ahli parti.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya menambah landskap politik sentiasa berubah.
“Ini bukan soal retorik… yang penting ahli parti mesti rapat dan kukuh serta tidak ada perasaan ragu-ragu pada pucuk pimpinan parti membuat keputusan yang terbaik untuk parti,” ujarnya.- UMNO Online