Kami Harap SEGiM Noktahkan Permasalahan E-Hailing Dan P-Hailing – Fairuz

KUALA LUMPUR,5 Julai – Penasihat Persatuan Penghantar Malaysia, Fairuz Jamaluddin berharap langkah kerajaan yang akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bakal menoktahkan segala permasalahan yang membelenggu mereka yang terlibat dalam industri E-Hailaing dan P-Hailing.

Bagi beliau langkah berkenaan bukan sahaja dialu-alukan malah memperlihatkan apa yang diusahakan selama ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

“Terima kasih kepada kerajaan yang mendengar rintihan daripada Penghantar dan kita hantar cadangan pada 2021 lagi untuk wujudkan badan kawal selia seumpama ini.

“Kita harapkan mereka fokus kepada ‘digital capitalism’ dan bukannya menekan pekerja malah kita berharap suruhanjaya ini nanti mempunyai peranan yang amat besar termasuk diberi kuasa terima aduan serta ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Sekretariat Kesatuan Pekerja dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin pada sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Turut serta Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dan mereka yang terlibat dalam sektor tersebut.

Fairuz seterusnya berharap soal kadar bayaran dan lain-lain yang berkaitan diharap akan dikawalselia sebaiknya dengan ada suruhanjaya itu nanti.

“Kerajaan perlu kawal persaingan harga di kalangan syarikat yang terlibat dan persaingan inilah seperti tambang rendah menyebabkan ‘rider’ terhimpit. Apabila pesaing baru daripada luar negara sebagai contoh turunkan harga dan sebagainya pesaing lain pun turunkan harga dan menghimpit mereka yang terlibat dalam industri ini.

“Kita harap suruhanjaya dapat bantu industri bukan sahaja kawal harga tetapi untuk mereka yang terlibat ini berpindah bidang kepada upskilling dan reskilling,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.