Mesyuarat Bahagian Medan Raikan Semangat Kebersamaan, Perkukuh UMNO Demi Perjuangan

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berharap mesyuarat UMNO bahagian yang sedang dilaksana pada masa ini dapat dimanfaatkan ke arah memperkukuh solidariti dalam kalangan ahli.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, semangat kebersamaan ini penting bagi memastikan perjuangan asal parti kepada rakyat dapat dilaksanakan menerusi semangat Kerajaan Madani.

“Harapannya ialah menguatkan semula sokongan akar umbi di semua peringkat dan memperkuatkan kerajaan ini. Jangan sama sekali kerajaan ini runtuh, walaupun dengan 26 kerusi tetapi dengan adanya kerajaan ini kita boleh bantu rakyat.

“Walaupun nampak macam tak dominan dalam kerajaan ini, tapi suara UMNO sangat-sangat dihormati. Pada masa yang sama kita berkerajaan ini dapat memperkasakan suara akar umbi bahagian-bahagian,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Azhar dalam pada itu juga berkata keteguhan dalam kalangan ahli parti ini amat penting bagi memastikan gerak kerja sebaiknya dapat dilakukan menuju ke pilihan raya akan datang.

“Kita semua ini ahli-ahli UMNO di semua peringkat, jangan bercakaran lagi… sekarang ini masa kita bekerja untuk parti bagi menghadapi pilihan raya.

“Insya-Allah kalau kita masuk pilihan raya dengan lebih banyak kerusi itu terpulang kepada kebijaksanaan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – Presiden UMNO) kita tapi kita kena menang jadi harapannya UMNO mesti ada kesepaduan, mesti ada kasih dan sayang di antara satu sama lain.

“Dengan itu UMNO akan kembali kuat, berada di landasan yang betul,” ujar beliau.

Untuk rekod Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian, berlangsung pada ketika ini setelah bermula 21 Jun hingga 29 Julai 2024, kemudiannya Perhimpunan Agung UMNO 2024 mengambil tempat pada 21 hingga 24 Ogos depan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.