UMNO Labuan Perkukuh Tekad Akan Terus Bersama Berjuang Demi Rakyat

LABUAN, 1 Julai – UMNO Bahagian Labuan memperbaharui tekad untuk terus berjuang demi rakyat menerusi mesyuarat UMNO bahagian terbabit yang berlangsung semalam.

Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, kewujudan UMNO adalah hasil daripada perjuangan rakyat maka sewajarnya ia tetap diteruskan dalam landasan kukuh demi masa depan rakyat juga.

“Kita dalam UMNO memperkukuh tekad bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat kerana UMNO ini lahir dari perut rakyat dan insya-Allah UMNO akan terus bersama dan memperjuangkan rakyat sama ada susah ataupun senang, menang ataupun kalah,” katanya.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian dalam ucapan di hadapan para perwakilan UMNO Labuan sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan yang berlangsung semalam.

Katanya, sokongan rakyat terhadap UMNO yang ditunjukkan dalam gelombang baharu sebagaimana kehadiran para perwakilan di mesyuarat akar umbi peringkat Cawangan UMNO diikuti Bahagian amat memberangsangkan.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh kepimpinan dan perwakilan yang hadir dengan memberikan sokongan kepada UMNO. Inilah parti kita yang cukup bersemangat meneruskan perjuangan malah gelombang kebangkitan UMNO sesungguhnya dirasai di semua peringkat.

“Kerana itu, marilah kita jadikan perjuangan politik ini sebagai satu ibadah bagi memastikan agama, bangsa dan tanah air kita terbela,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang telah bertandang menerima jemputan dan merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Labuan tersebut.

“Syukur alhamdulillah, semalam kami telah selesai mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan yang telah di rasmikan oleh Datuk Dr Asraf Wajidi Dusuki selaku Setiausaha Agong UMNO Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kepimpinan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan pemimpin masyarakat yang sudi hadir bersama dalam majlis perasmian semalam. Kesatuan yang di tunjukkan ini adalah suatu kekuatan kita di Labuan kerana apa yang lebih penting adalah kemajuan Labuan dan kebajikan rakyat yang perlu kita utamakan.”

Jelasnya, ucapan Dr Asyraf Wajdi juga telah banyak menjawab dan merungkai pemikiran perwakilan selama ini.

“Terima kasih juga kepada semua yang hadir dan menjayakan persidangan UMNO Bahagian Labuan Tahun 2024,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.