Awalnya Nampak Janggal Tapi Kini Menteri-menteri Kerajaan Perpaduan Makin Serasi – Azhar

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan menteri-menteri Kerajaan Perpaduan makin menunjukkan keserasian selepas hampir setahun setengah tertubuhnya kerajaan ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau sendiri mengakui pada awalnya nampak agak janggal, apatah lagi melihat keberadaan pemimpin UMNO bersama dengan pemimpin parti-parti Pakatan Harapan menganggotai Kabinet yang sama.

“Kabinet Kerajaan Perpaduan pada awalnya memanglah kita tengok macam tak serasi tetapi sekarang dah hampir setahun lebih nampak makin serasilah di antara menteri-menteri Kabinet itu.

“Ini kerana sejarah kita ni tak pernah kerjasama dengan Dap, kecuali Pas atau mereka-mereka yang pernah kerjasama dengan Dap.

“Tentulah rasa mula-mula tu tempang sikit lah kan, mula-mula nak kenal mesra. Tapi hari ni kita tengok bila dah lama nampak bagus dan tentunya menteri-menteri UMNO melaksanakan tugas dengan amat terbaik,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata kelebihan dilihat kepada kepimpinan UMNO yang berpengalaman.

Ini kerana katanya memandang hampir menteri UMNO pernah menganggotai Kabinet dan ia memberikan kesempatan kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dalam portfolio yang pernah dipegang mereka sebelum ini.

“Jadi daripada rakan-rakan Kabinet yang lain itu, kebarang kalian mereka tidak pernah ada pengalaman.

“Kebanyakkan baharu langsung tak pernah menjadi menteri tiba-tiba jadi menteri jadi tentulah ada kejutan dan sebagainya.

“Tapi lama-kelamaan nampaknya Kabinet ni dah serasi kebarangkalian menteri-menteri ni pun belajar daripada menteri-menteri UMNO lah jadi kian bagus,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Tun Mahathir Mohamad yang berkata Jemaah Menteri pada ketika ini kurang cekap dalam pentadbiran sambil menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu memfokuskan “survival” politik berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak-anaknya, Mokhzani dan Mirzan, serta bekas menteri kewangan,Tun Daim Zainuddin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit