Pelabur Semakin Yakin Prospek Ekonomi Malaysia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelabur semakin yakin terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Berkongsi data di laman sosial Facebook dan X, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata bagi laporan suku pertama tahun ini, pelaburan yang diluluskan adalah hampir RM84 bilion.

“Pelaburan diluluskan hampir RM84 bilion untuk Suku Pertama 2024, meningkat sebanyak 13% tahun ke tahun, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Pelaburan yang diluluskan ini terdiri daripada 1,257 projek, yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Seterusnya tambah Tengku Zafrul, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memberi tumpuan kepada reformasi perindustrian untuk memupuk ekosistem pelaburan yang kondusif.

Katanya, ia dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2033.

Dalam satu status yang berlainan pula, Tengku Zafrul mengucapkan terima kasih kepada Google kerana memilih Malaysia sebagai lokasi pusat datanya yang terkini yang bernilai RM9.4 bilion.

“Google hanya ada 11 pusat data berskala besar seperti ini, dan Malaysia adalah salah satu daripada lokasi tersebut.

“Google Cloud Day adalah medan untuk berkongsi inovasi dalam AI (Artificial Intelligence atau kecerdasan buatan) dan penyelesaian data serta aplikasi praktikalnya untuk semua organisasi. Pendigitalan dan AI adalah kunci untuk membentuk masa depan sosio-ekonomi yang mampan dan inklusif.

“Bersama kita mampu membina negara dalam usaha mencapai sasaran Ekonomi MADANI untuk menjadi 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2033,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.