Dasar UiTM Terus Kekal, Selaras Perlembagaan Negara – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pengekalan dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk kaum Melayu, orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya apabila melibatkan aspek sosio ekonomi.

Menurut beliau pada dasarnya, UiTM merupakan sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 [Akta 173] yang berbunyi: “Penubuhan Universiti menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan 1A.

“Universiti Teknologi MARA ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan”.

“Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, yang merupakan asas kepada agenda bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM,” katanya pada sesi jawab lisan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dr Zambry seterusnya menegaskan dalam masa yang sama, penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum Bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia termasuk dalam sektor pekerjaan yang berstatus profesional seperti doktor, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain.

“Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan Bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional, malah kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.