UiTM Perlu Bergerak Pantas Seiring Dimensi Perubahan, Manfaatkan Kepakaran Dimiliki

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menekankan peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk bergerak pantas seiring dengan pelbagai dimensi perubahan yang berlaku kini.

Menurut beliau ini kerana, universiti ini memiliki kepakaran, infrastruktur lengkap seluruh negara yang boleh dimanfaatkan untuk meneroka peluang-peluang lain di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Kita tidak lagi mahu dimomokkan dengan status universiti kerajaan yang mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Contohnya adalah platform pengajian TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang perlu dimanfaatkan sebaiknya dan direlevankan dengan program masa hadapan bersesuaian.

“UiTM bukan sahaja perlu menghargai sejarah gemilang perjuangannya bahkan perlu berani untuk mara ke hadapan meneroka peluang baharu untuk memastikan anak bangsa tidak tercicir dalam pengajian bahkan berjaya dalam dunia kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook ketika berkongsi kehadirannya pada Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM yang diadakan semalam.

Program dua hari itu disertai oleh pengurusan tertinggi UiTM antaranya naib canselor, timbalan-timbalan naib canselor, rektor dan barisan dekan fakulti serta pengarah-pengarah jabatan utama.

Kehadiran Zambry itu rentetan amanat daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan pada Isnin.

“Hari ini saya diminta untuk berkongsi pentas dialog bersama peserta bagi menempa cabaran dan kekangan hala tuju masa hadapan UiTM,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut sama memaklumkan Program Karisma Pemikir Madani akan turut sama dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain.

Menurut beliau program ini antara lain adalah untuk merapatkan kembali saf kepimpinan IPT, para pensyarah dan pemimpin muda untuk sama sama menghayati hala tuju terkini pembangunan negara serta melakari sejarah negara bangsa.

“Program Karisma Pemikir Madani akan terus diperluaskan ke IPT lain pula selepas ini insya-Allah. Terima kasih Akademi Kenegaraan Malaysia, rakan strategik KPT untuk program ini.

“Saya percaya kerjasama atau persaingan antara IPT yang sihat mewujudkan persekitaran yang lebih proaktif.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai graduan cemerlang dan sama seperti pagi tadi, dengan kekuatan lebih 34 kampus, saya seru UiTM dapat turut menyumbang kepada ‘engineer’ yang memenuhi pasaran industri. Insya-Allah UiTM menyahut dengan baik,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.