UMNO Putatan Kemuka Usul Sokong Penuh Bung Moktar Kekal Ketua UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 24 Jun – UMNO Bahagian Putatan mengemukakan usul sekali gus memberikan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikekalkan sebagai Ketua UMNO Negeri Sabah.

Ketuanya, Jeffrey Nor Mohamed berkata, sokongan ini perlu diteruskan memandangkan Bung Moktar merupakan seorang nahkoda yang kekal setia ketika UMNO Sabah dilanda krisis pada 2018.

Katanya, ketika itu UMNO Sabah menyaksikan kepimpinannya bertindak keluar parti beramai-ramai apabila sembilan daripada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah meninggalkan parti.

“Hanya mereka bertiga kekal bersama UMNO Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Raime Unggi serta Datuk Yakub Khan.

“Mereka bertiga ini sangat cukup terbukti setia kepada UMNO Sabah. Oleh itu, UMNO Bahagian Putatan hari ini mengemukakan usul agar Bung Moktar Radin perlu dikekalkan sebagai Ketua UMNO Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya ketika berucap sempena mesyuarat UMNO Bahagian Putatan, di sini, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnian Omardin telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan tersebut.

Jeffrey Nor yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, dalam sesebuah organisasi tiada istilah dua nahkoda dalam satu kapal seperti yang didakwa oleh pihak luar.

“Sekiranya terdapat perpecahan di dalam kepimpinan UMNO Sabah ia sudah tentu akan memberi kesan buruk ketika parti bakal menghadapi PRN Sabah.

“Tentang gabungan parti untuk menghadapi PRN Sabah, kita mahu setiap keputusan perlu ada hasil majoriti atau minoriti agar UMNO Sabah tidak dikhianati untuk kali ketiga,” jelas Jeffrey Nor.

Menurutnya, UMNO Sabah perlu belajar daripada pengalaman lalu sekali gus mengutamakan untuk menyelesaikan masalah rakyat yang menjadi agenda utamanya.

“Rakyat sangat menderita akibat isu bekalan air, jalan raya dan elektrik. Menariknya, kawasan Putatan pun terlibat, walaupun memiliki menteri yang bertanggungjawab terhadap masalah ini,” tambah Jeffrey Nor lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.