Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China Bawa Banyak Faedah Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sudah semestinya membawa lebih banyak faedah kepada rakyat di kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO telah menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-Republik Rakyat Cina bertempat di Hotel Shangri-La, di sini pada Rabu.

“Malam ini (Rabu), bertempat di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, saya menghadiri majlis gilang gemilang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-Republik Rakyat China.

“Mendengar ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang menyerlahkan keakraban hubungan setengah abad ini serta kesungguhan kedua-dua pemimpin ini untuk terus melakar kegemilangan bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar dengan kehadiran dan komitmen para pemimpin negara, hubungan Malaysia-China akan terus berkembang.

“Hubungan diplomatik yang utuh ini telah membawa banyak faedah kepada rakyat Malaysia dan China termasuk dalam bidang perdagangan, pendidikan, kebudayaan dan kemajuan pembangunan.

“Saya berharap, dengan kehadiran dan komitmen para pemimpin kita, hubungan Malaysia-China akan terus berkembang serta diperhebatkan lagi.

“Semoga kita dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama, memajukan inovasi dan menggalakkan pertukaran budaya lebih erat demi membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk kedua-dua negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, lawatan Li Qiang ke Malaysia yang bermula dari Selasa sehingga Khamis adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Selain itu, Li Qiang juga akan mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit