Isu Nak Ganti UMNO Tak Timbul Kerana Kekuatan Akar Umbi Tiada Tolok Bandingan

KUALA LUMPUR, 20 Jun – “Isu nak menggantikan UMNO itu tidak perlu timbul kerana kekuatan UMNO di akar umbi memang tidak ada tolok bandingannya.”

Demikian reaksi diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkenaan kewujudan pihak yang seakan mahu menggantikan parti keramat ini.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, ini dapat dibuktikan melalui keutuhan dalam kalangan akar umbi serta orang Melayu yang menyokong UMNO.

“Lebih-lebih lagi macam kami di Kuala Pilah banyak kampung-kampung, kawasan luar bandar kita nampak dari segi mesyuarakat cawangannya dan kekuatan di akar umbi ibarat UMNO berpisah tiada dengan akar umbi.

“Saya yakin dan percaya UMNO adalah parti keramat orang Melayu yang akar umbinya memang dalam kalangan majoriti orang Melayu sendiri. Memang kita dah tengok strategi pihak lawan adalah mereka nak mengelirukan dari segi jenama ataupun identiti.

“Ini tidak mengganggu-gugat kesetiaan ahli-ahli parti dan rakyat yang sebenarnya tahu prestasi kerja pemimpin UMNO itu sendiri dan saya yakin serta percaya tidak timbul masalah apa juga mereka cuba tiru,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu turut sama menyambut baik Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di UMNO Bahagian Kuala Pilah baru-baru ini.

Jelas Saiful, pelbagai perkongsian diperoleh dalam program tersebut bagi memberi penjelasan mendepani dinamika politik, termasuk persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Apa yang saya lihat dibuat oleh Penerangan UMNO Malaysia, mereka menceritakan keadaan semasa dan juga sedikit sebanyak juga banyak membawa isu serta strategi akan datang yang perlu UMNO lakukan demi untuk menguatkan parti kita dalam menghadapi PRU16 nanti,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.