Jelajah Penerangan UMNO Capai Matlamat, Kuasai Media Baharu – Nazaruddin
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jelajah Penerangan UMNO yang menjadi realiti hasil cetusan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berjaya mencapai matlamat penganjuran terutamanya dalam menguasai media baharu.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Pilah, Nazaruddin Abdul Rahman berkata, beliau berpuas hati dengan perlaksanaan program ini dan mengucapkan terima kasih kepada Penerangan UMNO Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Penerangan UMNO Malaysia kerana sudi hadir di Kuala Pilah untuk Program Jelajah Penerangan UMNO ini. Sejujurnya, saya merasa puas hati dengan perlaksanaan program ini.
“Bagi saya program ini telah mencapai matlamat penganjurannya sebab sekarang ini media baharu memang penting terutamanya media sosial. Saya lihat ini yang perlu dipergiatkan lagi, khususnya bagi UMNO Bahagian Kuala Pilah ini,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, UMNO Bahagian Kuala Pilah telah melaksanakan pelbagai program ceramah untuk memantapkan lagi penguasaan media sosial dan propaganda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.
“Sebelum ini kita banyak membuat program seperti ceramah dan sebagainya. Tetapi, kali ini ia agak berlainan kerana kita memberi fokus kepada media baharu, khususnya media sosial.
“Baru-baru ini pun kita telah melaksanakan Bengkel Propaganda Penerangan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang telah dikendalikan oleh Datuk Budiman (Budiman Mohd Zohdi) selama satu hari di Resort Seri Menanti.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengumpulkan 70 orang peserta sebagai ‘team’ media dan propaganda di peringkat UMNO Bahagian Kuala Pilah. Kita akan gerakkan kumpulan ini sehingga ke PRU ke-16 nanti, insya-Allah. Inilah ‘team’ yang akan bekerja untuk mengawal media dan juga mempromosikan calon-calon kita kelak,” katanya lagi.
Untuk rekod, Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kuala Pilah telah berlangsung pada 14 Jun lalu dan turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi meneruskan gerak kerja untuk memberi pencerahan mengenai isu semasa.
Menerusi program terbabit, penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti.
Selain itu, anggota penerangan parti juga diangkat menjadi perisai bagi semua ahli dan pendukung parti untuk menangkis pelbagai dakwaan buruk, tohmahan negatif dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan. – UMNO Online