Jelajah Penerangan UMNO Malaysia Medium Perkukuh Komunikasi Dekati Rakyat – Bibi Sharliza

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang ketika ini dilaksanakan membuka peluang kepada akar umbi parti memperkukuh kekuatan dalam mendekati rakyat menggunakan pelbagai medium komunikasi, kata Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, berkata program yang diilhamkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said itu sangat penting sebagai persiapan awal mendepani Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Tahniah kepada Penerangan UMNO Malaysia yang telah pun membuat satu ilmu penambahan kepada jentera-jentera UMNO yang saya fikir hari ini media sosial dan perdekatan kepada Artificial intelligence ini sangat diperlukan terutamanya untuk pilihan raya PRU16 yang akan datang.

“Jadi saya harap jentera kita di peringkat akar umbi, terutamanya dalam bahagian Kuala Pilah, akan mendapat satu tim yang kukuh serta mantap.

“Saya akan menghantar wanita-wanita untuk menyertai kursus ini kerana ia sangat penting untuk kita mengenali lebih ramai orang muda dan untuk membawa orang muda bersama dengan kita serta meyakinkan pengundi bahawa hari ini UMNO telah pun mengorak langkah dengan lebih baik untuk menepati hati rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Untuk rekod, jelajah tersebut yang bermula pada 19 Mei dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat, antara bahagian yang telah dianjurkan iaitu UMNO Bahagian Jerantut, disusuli Bahagian Tapah, Tampin, Putrajaya, Putatan, Pensiangan, Sabak Bernam, Rembau, Tanjung Karang, Lipis dan Kuala Krau.

Dalam pada itu Bibi Sharliza yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah turut sama meluahkan kesyukuran dengan berakhirnya mesyuarat cawangan penuh jaya atas penyertaan akar umbi parti yang hadir atas dasar tanggungjawab bagi memantapkan lagi gerak kerja dan ukhuwah dalam kalangan keluarga UMNO.

Menurut beliau, kesatuan ini sangat penting untuk dipelihara sebagai usaha memperkasa parti keramat ini dalam membawa agenda perjuangan orang Melayu dan agama Islam.

“Alhamdulillah bahagian Kuala Pilah dan wanita berjaya mengadakan semua mesyuarat cawangan dan kita harap pada masa akan datang UMNO ini akan terus kukuh dan mekar di akar umbi di cawangan-cawangan.

“Kerana hari ini cawangan-cawangan dah mula bersemangat seperti dulu untuk menjalankan program-program dan yang saya fikir hari ini kebanyakannya ketua wanita, ketua cawangan yang datang untuk ada semangat baru untuk buat di cawangan masing-masing.

“Kepada ahli parti sayangilah parti kita, tidak ada parti yang sebaik UMNO yang membawa masa depan orang Melayu dan orang yang beragama Islam. Saya yakin dan percaya sekali jatuh tidak bermakna kita akan jatuh sampai bila-bila. Semangat yang paling penting adalah semangat untuk kita bangkit semula… insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.