Mohd Shahar Fokus Santuni Orang Muda Dan Rakyat, Mahu Kongsi Idea Kukuhkan Pengetahuan

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah terus menyantuni penduduk di kawasan melalui program-program berbentuk kemasyarakatan, ziarah kasih serta menyantuni golongan muda.

Melalui perkongsian terbaharu Facebook, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar berbesar hati merasmikan Program Debat Perdana UMPSA di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Kampus Gambang.

Beliau pada ucapannya berkata program debat ini adalah peluang yang sangat berharga bagi para mahasiswa untuk melatih kemahiran berhujah secara berkesan dan menyuarakan pendapat mereka dengan jelas dan tegas.

“Saya yakin bahawa pengalaman yang diperoleh dari program ini akan memberi impak yang positif dalam perkembangan intelektual dan personaliti para mahasiswa.

“Semoga program ini menjadi platform yang bermakna bagi para mahasiswa untuk berkongsi idea, memperkukuhkan pengetahuan, dan membentuk pemikiran yang terbuka,” katanya.

Sementara itu, beliau seterusnya merasmikan Majlis Sambutan 40 Tahun Badan Kebajikan Peneroka (BKP) Felda Wilayah Kuantan di Dewan Semai Bakti Felda Lepar Hilir 3.

Menyifatkan perjalanan empat dekad bukanlah satu jangka masa yang singkat, dalam tempoh ini beliau berkata Badan Kebajikan Peneroka telah menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam memperjuangkan kesejahteraan dan kemajuan para peneroka.

“Memasuki usia 40 tahun, saya percaya bahawa Badan Kebajikan Peneroka akan terus memainkan peranan yang lebih besar dalam menghadapi cabaran-cabaran baru. Dengan perubahan landskap ekonomi dan sosial yang semakin pesat, adalah penting untuk terus beradaptasi dan inovatif dalam memastikan kesejahteraan para peneroka tetap terpelihara.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Badan Kebajikan Peneroka atas sambutan ulang tahun ke-40 ini. Semoga badan ini terus maju jaya dan segala usaha yang dirancang akan membuahkan hasil yang bermanfaat kepada semua peneroka,” ujar beliau.

Menerusi hantaran berbeza Mohd Shahar turut sama berkongsi tinjauannya ke tapak pembinaan stesen minyak di Lubuk Puyu untuk melihat sendiri keadaan tapak projek yang terkini.

Beliau berkata penduduk di kawasan ini meluahkan kebimbangan berkenaan isu air yang melimpah dan memasuki ke kawasan rumah mereka terutamanya apabila hujan yang lebat.

“Saya telah pun meminta agar perkara ini diselesaikan segera dan mengarahkan pihak pengurusan projek membuat kajian bagi mengenal pasti punca sebenar masalah dan merangka penyelesaian yang paling berkesan.

“Insya-Allah saya akan membantu sedaya mungkin untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Apa-apa tolong beritahu saya!” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.