Kukuhkan Perjuangan, Kekalkan Kesatuan… Wanita UMNO Terus Jadi Benteng Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Wanita UMNO bukan sahaja akan terus berperanan sebagai benteng utama parti malah akan memperkukuhkan lagi perjuangan hari ini dalam usaha memastikan kebangkitan UMNO/Barisan Nasional (BN) terus menyinar.

Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, menyorot kembali bagaimana UMNO pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, situasi berkenaan tidak sepertimana hari ini.

Menurut beliau, walaupun tidak sepenuhnya kebangkitan yang menyinari UMNO hari ini, namun semangat berkobar-kobar ahli serta pendukung parti pelbagai peringkat telah memulihkan tekad perjuangan UMNO untuk terus diwarisi daripada pimpinan terdahulu.

“Alhamdulilah… inilah masanya dan inilah waktunya untuk kita sebagai ahli parti peringkat bahagian pula yang akan sama-sama fikirkan dan lontarkan segala pandangan pada mesyuarat bahagian nanti.

“Jika sebelum ini ahli di peringkat cawangan memainkan peranan serta melaksanakan rutin tahunan mereka dengan pelbagai cadangan untuk kepentingan parti, kini giliran kita pula untuk mengambil peranan yang sama,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini.

Kata beliau lagi medan mesyuarat berkenaan baik di peringkat sayap parti mahupun bahagian itu sendiri khususnya Wanita UMNO bahagian perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Bagi kita Wanita UMNO sebagai benteng parti dan insya-Allah sebagai tonggak penggerak parti maka inilah masanya… jangan pula kita jadikan platform ini untuk berpecah-belah mahu pun berpuak-puak.

“Kita semua dalam satu saf perjuangan dan jangan sama sekali kita pula yang pisah-pisahkan ahli kita. Bermula daripada kita dan bak kata pepatah ‘tepuk dada tanya selera’ jika kita ingin lihat UMNO terus menyinar kembali, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa Wanita UMNO terus konsisten memperjuangkan 30 peratus calon pada pilihan raya nanti terdiri daripada golongan wanita.

“Ianya adalah satu pengiktirafan kepada Wanita itu sendiri yang sentiasa bertungkus- lumus bersama dengan yang lain dalam usaha memartabatkan perjuangan UMNO.

“Saya konsisten memperjuangkan perkara ini dan akan terus berjuang sebaiknya dalam usaha memastikan hasrat ini menjadi realiti sepenuhnya.

“Selamat bersidang buat seluruh perwakilan Wanita UMNO. Wanita nadi parti, hilang wanita silap-silap tenggelamlah parti,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.