UMNO Lahad Datu Simpati Nasib Rakyat Kg Pancuran, Mohon Kerajaan Negeri Sabah Tangani Permasalahan

LAHAD DATU, 12 Jun – UMNO Bahagian Lahad Datu melahirkan rasa simpati dengan nasib seramai 41 keluarga di Kampung Pancuran ekoran kediaman dirobohkan yang menyebabkan keluarga terbabit menumpang teduh di Dewan Masyarakat Tun Mustafa, di sini.

Dalam hal ini, ketuanya, Sharif Musa Sharif Mabul meminta Kerajaan Negeri Sabah untuk tampil menyiasat dan memberi pembelaan kepada mereka yang terbabit selaku mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, saya amat bersimpati atas kejadian ini, mereka yang menduduki Kampung Pancuran ini adalah Bumiputera sah dan sebagai rakyat Malaysia, saya merasa amat terkilan dengan tindakan begini keras.

“Mohon pihak berkuasa masuk campur dalam hal ini. Seharusnya sebagai manusia kita mempunyai rasa ihsan, kembalikan dahulu para penduduk kampung kepada pihak kerajaan, cari cara penyelesaiannya.

“Bagaimana cara mencari penempatan yang baru untuk mereka yang akan dipindahkan, kerana mereka telah lama menduduki Kampung Pancuran ini, seumur kampung-kampung yang berada di Parlimen Lahad Datu,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Sharif Musa, difahamkan bahawa perobohan rumah di Kampung Pancuran tersebut dibuat kerana melibatkan tanah persedirian.

Justeru beliau meminta kerajaan negeri mengambil tanggungjawab atau menyediakan tempat tinggal sebagai pemindahan kepada mereka yang terlibat.

“Saya telah membuat laporan kepada pihak atasan atau berkuasa, perlu menyiasat status Kampung Pancuran ini, sekiranya status kampung ini lebih tua dari geran pemilik tanah, maka, kami dari pihak UMNO Lahad Datu memohon agar kerajaan negeri atau YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi pembelaan kepada mangsa.

“Sejarah Lahad Datu adalah guru atau petujuk. Kita lihat sejarah Lahad Datu, Kampung Pancuran yang telah diroboh oleh pihak tertentu adalah kampung yang telah lama wujud tapi telah diroboh oleh pihak tertentu sebab katanya, ada pemilik tanah.”

Beliau juga melahirkan rasa terkilan kerana gagal mempertahankan mangsa terlibat lantaran tidak mempunyai kuasa lantas memohon Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian dan seluruh ahli jawatankuasa Bahagian amat bersimpati atas kejadian ini, dan kami daripada UMNO Bahagian Lahad Datu memohon ampun dan maaf tidak dapat mempertahankan saudara-saudari mangsa perobohan rumah, kerana kami tidak mempunyai kuasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.