Penerangan UMNO Pahang Susun Atur Gerak Kerja Bersama Penggiat Media Sosial

KUALA KRAU, 12 Jun – Penerangan UMNO Negeri Pahang telah mengatur gerak kerja bersama penggerak atau penggiat media sosial melibatkan seluruh negeri, ujar Ketuanya Fadzli Mohamad Kamal.

Kata Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri, kesepaduan pasukan dengan penglibatan daripada seluruh Bahagian di Negeri Pahang amat penting agar ia memberi kesan yang maksima.

“Penerangan UMNO Pahang sudah lakukan ‘retreat’ media sosial dua tiga bulan lalu di ILMU, Janda Baik. Memahamkan setiap penggerak atau penggiat media sosial di seluruh Pahang gerak kerja yang perlu dilakukan serta cabaran-cabaran yang perlu diambil kira dalam ‘perang’ dalam media sosial.

“Dalam sesi ‘retreat’ tersebut saya lihat penggiat media sosial sudah faham peranan yang harus mereka mainkan dan kita hendak wujudkan satu gelombang di kalangan penggiat media sosial di Pahang ini.

“Kita ada kumpulan kerja yang baik, sudah bekerjasama selepas ‘retreat’ dan insya-Allah tahun ini sekali lagi ‘retreat’ yang sama akan dianjurkan lebih ‘advance’ dari segi gerak kerja yang akan diaturkan,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini di sini.

Terdahulu, Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong hadir berceramah di program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kuala Krau yang dihadiri lebih empat ratus ahli akar umbi.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai penceramah utama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said serta pimpinan Bahagian.

Berhubung dengan Jelajah Penerangan UMNO itu, Fadzli berkata ia merupakan satu usaha yang cukup baik kerana ahli akar umbi mendapat input secara terus berkaitan hal ehwal parti.

“Jelajah Penerangan UMNO Malaysia satu usaha yang cukup baik untuk memberi penjelasan dan pemahaman kepada ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi khususnya di peringkat Bahagian, memahami segala inisiatif yang dilakukan oleh Penerangan UMNO Malaysia untuk mempertahankan parti ini dan mengangkat kembali parti ke tempat yang sepatutnya.

“Dan bila memahami mereka boleh menyahut segala pendekatan atau usaha yang dilakukan oleh Penerangan UMNO ini. Di Pahang ini Kuala Krau lokaliti ketiga disinggahi oleh Penerangan UMNO Malaysia.

“Kita tengok ‘mood’ ahli-ahli UMNO dalam sesi yang dilaksanakan cukup baik, memberi kerjasama yang cukup baik dan semangat ini saya nampak cukup berkobar-kobar untuk kita memberi kesedaran pula kepada rakyat berkenaan perjuangan UMNO itu sendiri,” katanya.

Bagi Negeri Pahang, siri Jelajah Penerangan UMNO sebelum ini telah berkunjung ke UMNO Bahagian Jerantut dan Lipis. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.