TVET Jadi Fokus Kerajaan, Sebagaimana FELDA Terbukti Berjaya Majukan Anak Bangsa

KUALA LIPIS, 12 Jun – Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kerajaan kini fokus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan anak bangsa yang berkemahiran tinggi.

Kata Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, ini juga rentetan kejayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu yang berjaya menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan mengubah taraf kehidupan masyarakat sehingga berjaya melahirkan ramai profesional.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, seharusnya warga FELDA bersyukur kerana telah mendapat nikmat dan manfaat yang besar hasil daripada idea pemimpin BN iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan diteruskan dengan cemerlang oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Ini hasil daripada idea yang dibawa oleh pemimpin UMNO/BN. Sebab itu saya berpendapat bahawa FELDA sepatutnya mesti bersama dengan UMNO/BN kerana perubahan yang dibawa kepada orang Melayu yang wujudnya pada ketika itu yang memang kita tahu rata-ratanya susah termasuk keluarga saya.

“Kejayaan FELDA itu sebenarnya membawa perubahan yang besar kepada orang Melayu itu sendiri dan ini terbukti,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Lipis di sini baru-baru ini.

Kini jelas Abdul Rahman, Kerajaan Perpaduan memberi amanah kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi fokus menaik taraf anak bangsa melalui TVET.

“Dan sekarang ini Ahmad Zahid telah membawa satu perubahan yang baharu iaitu memperkukuhkan TVET. TVET ini bukan hanya kepada mereka yang dapat 9A, 10A tetapi kepada semua termasuk tiada Sijil Pelaran Malaysia (SPM) diterima untuk mengikuti kursus TVET.

“Sekarang (pelajar TVET) dapat tawaran yang cukup besar, seperti sebagai permulaan seramai dua ribu orang akan dipilih untuk dibawa ke China mengikuti kursus TVET. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika melancarkan Hari TVET Negara telah meluluskan kembali RM200 juta kepada KESUMA melalui Tabung Pendidikan Kemahiran dan ia sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah untuk anak bangsa kita tidak kira Melayu, Cina dan India,” ujarnya.

Ulasnya lagi yang dipertanggungjawabkan oleh Menteri KESUMA Steven Sim untuk menerajui TVET di bawah kementerian itu, beliau bersama dengan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara bergerak ke seluruh negara supaya tidak ada anak muda yang ketinggalan mengikuti program terbabit.

“…saya percaya TVET ini boleh berkembang di negara kita sebab ambil contoh Jerman, Korea dan Jepun, TVET menjadi satu keutamaan dalam negara mereka dan akhirnya menjadi negara yang begitu maju sekali dan kita hendak supaya negara kita ini mesti mendalami bersungguh-sungguh dalam bidang TVET ini.

“Kerajaan telah keluar banyak belanja untuk pastikan negara beralih kepada negara mahir, barulah pelabur datang ke negara kita ini kerana tahu Malaysia mempunyai tenaga mahir yang ramai.

“Maka insya-Allah di masa akan datang pelabur akan datang dan mengambil tenaga-tenaga mahir daripada TVET ini untuk berkhidmat dalam sektor mereka sendiri,” katanya.

Justeru katanya, berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan pada Hari TVET Negara 2024 pada minggu lalu, Jelajah TVET Madani akan turut diadakan di seluruh negara bermula Julai ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.