Subsidi Diesel: Pemuda UMNO Saran Penarikan Dilakukan Secara Berkala

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) menyarankan agar penarikan subsidi diesel dilakukan secara berkala dan bukanlah secara penuh seperti yang diumumkan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi satu kenyataan berkata, pengumuman penarikan penuh subsidi diesel yang bermula pada hari ini telah mendatangkan pelbagai reaksi daripada rakyat.

“Pengumuman penarikan secara penuh subsidi diesel bermula hari ini telah mendatangkan pelbagai rasa dan reaksi. Bagi PPUM, kami berpandangan dan mengesyorkan agar penarikan subsidi diesel ini perlu dilakukan secara berkala dan bukanlah secara total serta mengejut seperti yang diumumkan.

“Kesan penarikan subsidi diesel ini akan mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM 2.15 kepada RM 3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20/liter. Kenaikan yang besar dan tajam ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa serta orang ramai.

“Dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan masih lagi di peringkat awal dan sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan dan keciciran golongan memerlukan. Impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut meyokong polisi pengstrukturan subsidi yang pernah dicadangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, namun beranggapan bahawa ia perlu dilaksanakan secara berperingkat.

“Oleh itu, PPUM mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala. Adalah lebih elok jika ia boleh dilaksanakan dengan penarikan subsidi secara kecil dahulu misalnya RM 0.20 atau pada kadar 10 peratus minimum sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil… barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala.

“Secara umum, PPUM menyokong polisi pengstrukturan subsidi. Polisi ini turut dicadangkan oleh kerajaan BN dahulu walaupun dibantah teruk pada ketika itu. PPUM faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara.

“Namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak. Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan ,lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit