Kegagalan Pelbagai Projek Kerajaan Kedah… Sanusi Bersikap Sambil Lewa, Sekadar Cari Alasan
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Isu kegagalan beberapa projek di Kedah memperlihatkan Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Md Noor seolah-olah mengambil sikap lepas tangan serta sambil lewa dan tidak memperlihatkan keseriusan dalam melaksanakan pembangunan sewajarnya untuk rakyat negeri berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata jawapan sekadar ‘ini projek swasta, bukan projek kerajaan’ menyerlahkan hakikat yang sebenarnya kemampuan beliau sebagai peneraju kerajaan negeri.
“Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi sangat tidak bertanggungjawab dalam hal ini apabila beliau bersikap seperti lepas tangan dalam isu kegagalan projek mega di Kedah. Jemput pelabur masuk bila gagal meyakinkan pelabur, ‘ini projek swasta, bukan projek kerajaan’. Budak habis tingkatan lima pun boleh jadi MB kalau macam ni.
“Pasukan penilai kerajaan negeri pula sangat lemah. Sepatutnya kerajaan negeri dapatkan pasukan penilai hartanah yang profesional, yang boleh membantu menentukan nilai sebidang tanah atau bangunan dan boleh membuat penilaian dengan lebih tepat dan berkesan. Pasukan penilai ini jugalah yang sepatutnya menilai syarikat mana yang berkemampuan untuk melabur dan syarikat mana yang lemah atau berstatus ’scammer’,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Shaiful yang juga Ketua UMNO Merbok seterusnya menambah Menteri Besar Kedah juga dilihat seolah-olah suka mencari alasan yang menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat umum.
“Kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Sanusi sentiasa bersikap melepaskan batok di tangga. Bersikap sambil lewa, ambil kesempatan buat pengumuman itu… pengumuman ini… walaupun hakikat yang sebenarnya inisiatif dan projek yang diumumkan itu tidak realistik dan sememangnya tidak masuk akal.
“Beliau juga adalah seorang Menteri Besar yang lemah dan suka mencari alasan. Pelabur lari, gaji tertunggak, stadium tak siap, REE tapi ini alah bisa tegal biasa, Sanusi akan menyalahkan orang lain atas kegagalan dia termasuk dalam hal ini Sanusi kata ini projek swasta bukan projek kerajaan. Tak pandai menari dikatakan lantai berjungkit,” ujarnya.
Ujar beliau lagi sebagai Menteri Besar Kedah, Sanusi sepatutnya lebih bersikap realistik dan bertindak sebagai seorang pemimpin dengan cuba cari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang ada.
“Ini tidak, bekalan air kepada penduduk terjejas salah Putrajaya, siasatan ke atas salah SPRM, LRA lambat siap salahkan punca kos bahan naik.
“Sanusi perlu bertindak di atas kapasiti beliau sebagai menteri besar dan berhenti menyalahkan orang lain. Tamadun manusia perlukan kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan begitu juga negeri Kedah,” tambahnya lagi.- UMNO Online