Pemuda UMNO Anjur Program ‘Kau Nak Belajar, Abang Bantu Ko Dik’… Buka Peluang Pendidikan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berbesar hati menganjurkan program ‘Kau nak belajar, abang bantu ko dik’ yang bertujuan memberi peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata peluang itu juga dibuka kepada mereka yang tidak mengambil SPM.

“Kepada adik-adik lepasan SPM tahun sudah ataupun dua tahun sudah, korang nak sambung belajar dalam kursus kemahiran khususnya? Tapi tak tahu macam mana nak mohon?

“Jangan risau, abang-abang Pemuda UMNO seluruh Malaysia akan bantu  sehingga insya-Allah diterima masuk belajar.

“Macam mana nak buat? Isi borang google di link dan nanti abang-abang pemuda UMNO bahagian di tempat tinggal akan hubungi untuk bantu mempermudahkan urusan anda untuk mohon sehingga dapat tempat belajar yang penting nak belajar.

“Apa pun keputusan SPM sekalipun sama ada cemerlang, gagal ataupun tak ambil SPM sekalipun… sebab ada hampir dekat 11,000 orang adik-adik yang tahun lepas yang tak ambil SPM pun boleh nak sambung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata program ini dilakukan bagi membuka mata mengenai kepentingan pendidikan serta memberikan peluang kepada mereka mengubah kehidupan.

“Jadi tak kisah macam mana pun susah kita hanya pendidikan sahaja yang mampu untuk mengubah diri.

“Insya-Allah masa depan akan jadi lebih cerah ingat, hanya dengan pendidikan sahaja boleh mengubah keluarga dan juga diri kita,” ujar beliau.

Terdahulu, pada pada pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2023 Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Katanya lagi jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit