Jelajah Penerangan UMNO Bawa Informasi Terkini, Wajar Ada Kesinambungan

KOTA KINABALU, 4 Jun – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata Jelajah Penerangan UMNO merupakan satu usaha yang amat baik kerana ia menawarkan banyak informasi terkini mengenai isu-isu semasa politik dan negara.

Katanya, ia juga wajar ada kesinambungan supaya ahli di akar umbi sentiasa mendapat maklumat dan fakta yang baharu terutama sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

Bersyukur kerana Bahagian Putatan menjadi lokasi pertama bagi Negeri Sabah, Jeffery mengucapkan terima kasih kepada pasukan Penerangan UMNO Malaysia yang diterajui oleh Ketuanya Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kami dari UMNO Bahagian Putatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan Penerangan UMNO Malaysia kerana ini merupakan jelajah yang pertama kepada kawasan tumpuan di Negeri Sabah. Jadi tahu apa inti pati program tersebut.

“Kita juga berterima kasih kerana membawa penceramah (dari pusat) sudah tentu banyak informasi terkini yang kita dapat maklum secara jelas dan banyak ahli UMNO dari Putatan dapat maklumat yang benar tentang apa yang berlaku ketika ini,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui selepas program tersebut pada Sabtu baru-baru ini di sini.

Program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Putatan yang dihadiri hampir 300 ahli akar umbi itu menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dan Datuk Lokman Noor Adam merangkap Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia.

Hadir sama Setiausaha UMNO negeri, Datuk Jafry Ariffin; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Suhaimi Nasir dan beberapa Ketua UMNO bahagian berhampiran.

Seterusnya, Jeffery berkata program sebegitu wajar diteruskan pada masa akan datang terutama bagi menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak.

“Pimpinan UMNO Bahagian Putatan mengucapkan ribuan terima kasih dan program-program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang, apatah lagi Putatan ini merupakan kawasan tumpuan dan berpotensi memberikan kerusi jika berlaku pilihan raya negeri (PRN) ataupun pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kemungkinan besar kita akan menjemput sekali lagi jika ada signal untuk PRN akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Mungkin lebih fokus tentang DUN-DUN yang kita akan bertanding. Kita akan terus bergerak seperti yang dicetuskan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan dapat menghadapi PRN akan datang dan seterusnya meraih kejayaan,” katanya.

Tambahnya lagi, program penerangan sememangnya banyak banyak membantu terutama kepada jentera dan akar umbi.

“Memang benar, ia banyak membantu, memberikan maklumat terkini apa yang perlu kami buat untuk menghadapi segala kemungkinan seperti PRN atau PRU akan datang.

“Kita berhasrat supaya Penerangan UMNO Malaysia pada masa akan datang kita tumpukan kepada DUN-DUN di bawah kerusi UMNO/Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Manakala berhubung dengan ulang tahun BN yang berusia 50 tahun pada Sabtu lalu, Jeffery Nor yang juga Pengerusi Penyelaras Parlimen P.173 Putatan yakin dengan kebolehan BN Sabah dalam memimpin negeri.

“Kami gembira kerana BN Sabah ini masih lagi bertapak di Negeri Sabah. Kami percaya dan yakin kerana pimpinan BN di Sabah ini dipimpin oleh anak-anak Sabah. Jadi sudah tentu sambutan jubli emas ini kami daripada pimpinan UMNO/BN Putatan ingin mengucapkan selamat menyambut jubli emas kepada BN.

“Insya-Allah kita berharap UMNO/BN Sabah ini kembali menjadi pemerintah di Negeri Sabah,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.