Ahmad Zahid, Xuexiang Adakan Pertemuan Di Beijing

BEIJING, 31 Mei -Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang, di Vila 5, Rumah Tamu Negara Diaoyutai, di sini.

Pertemuan itu sempena lawatan rasmi beliau yang pertama ke republik berkenaan bermula 22 Mei hingga esok, atas jemputan Xuexiang.

Ahmad Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang tiba pada 10 pagi, mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya itu selama kira-kira 45 minit.

Semasa ucapan alu-aluan, beliau dan Xuexiang merakamkan penghargaan mengenai hubungan diplomasi yang terjalin antara Malaysia dan China sejak 31 Mei 1974.

Usai sesi perbincangan itu, Ahmad Zahid dijadual menghadiri Majlis Sambutan Sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dihoskan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Kehadiran beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, turut diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Selain itu, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong di ibu negara China itu, pada sebelah petang.

Ahmad Zahid juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China pada sebelah malam.

Sebelum ini menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi beliau adalah bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan dijangka meneroka peluang kerjasama, terutamanya dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.- Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit