Ahmad Zahid Hargai Komitmen Pengamal Media, Bawa Liputan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan penghargaan kepada pengamal media tempatan yang bersama beliau dalam lawatan rasmi kerja ke China bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Rentetan itu beliau yang juga Presiden UMNO berbesar hati meluangkan masa beramah mesra dengan petugas media sambil berkongsi pandangan antara satu sama lain.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan media yang turut hadir di sini mahupun yang berada di tanah air, melaporkan setiap detik lawatan rasmi saya sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Saya mengambil kesempatan yang ada untuk bertanya khabar dan bergambar bersama mereka di sini kerana pada pandangan saya, mereka ini adalah jambatan maklumat yang penting dalam membina hubungan antara negara.

“Dengan liputan yang telus dan beretika, media secara tidak langsung telah membantu kita untuk memahami, menghargai dan mengukuhkan hubungan bilateral di antara Malaysia dan China. Terima kasih atas khidmat bakti, jasa dan pengorbanan rakan-rakan media semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi hantaran berbeza beliau turut berkongsi kehadiran beliau ke Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) antara Mara Corp dan China Electrical Equipment International (CEEI), majlis yang menandakan satu tonggak penting dalam hubungan bilateral antara Malaysia dan China, serta merupakan langkah besar dalam inovasi teknologi di negara kita.

Ia sebagai fokus utama kolaborasi ini adalah pada tenaga lestari dan teknologi canggih yang akan membawa transformasi kepada landskap tenaga negara, melalui kerjasama ini, negara akan melaksanakan projek-projek tenaga baharu, sistem penjanaan kuasa, penggantian bateri, pembangunan modal insan, serta bekerjasama dengan vendor tempatan.

“Pelaburan dan pemindahan teknologi dari CEEI dijangka memberi dorongan ekonomi yang signifikan dan kemajuan teknologi di Malaysia.

“Peluang pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), amat bermakna dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri tenaga negara.

“Saya harap kerjasama ini akan membawa manfaat yang besar kepada sektor tenaga Malaysia sekaligus menjadikannya lebih maju dan terkehadapan. Insya-Allah,” ujar beliau.

Turut serta mengiringi Ahmad Zahid adalah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit