Noraini Ahmad Terus Turun Padang Santuni Rakyat Melalui Program Kemasyarakatan

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad terus turun padang menyantuni rakyat melalui program-program berbentuk kemasyarakatan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia pada minggu lalu berkesempatan ke Batu Pahat bagi menghadirkan diri pada perasmian Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) Dandanan Diri anjuran KEMAS Parlimen Parit Sulong dan Yayasan Makmur Batu Pahat.

“Kehadiran saya disambut oleh para peserta program. Kursus Dandanan Diri adalah antara kursus yang akan mendapat permintaan tinggi dan slot kursus akan sentiasa penuh.

“Saya turut diberikan taklimat berkaitan kursus ini. Saya dimaklumkan para peserta diajar bagaimana cara untuk membuat lulur sendiri, buat bahan scrub dan minyak urut sendiri. Menarik kan?

“Semoga ilmu yang dipelajari oleh para peserta ini akan dapat memberi nilai tambah untuk mereka menjana pendapatan nanti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam pada itu turut sama memenuhi jemputan untuk merasmikan Hari Kesihatan Wanita peringkat Daerah Batu Pahat di Taman Industri Sri Sulong yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Batu Pahat.

Menurut beliau program ini menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan wanita yang lengkap daripada fasiliti kesihatan awam dan swasta.

“Saringan kesihatan ini adalah untuk membantu peserta memahami risiko kanser payudara, kanser ovari, penyakit jantung serta keadaan lain. Tahniah Dr Amirul Akmal Sohor, pegawai Kesihatan Daerah dan pasukan di atas kejayaan menganjurkan program yang sangat meriah,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan atas kerjasama menjayakan program ini termasuk kepada Yayasan Makmur Daerah Batu Pahat, Hospital Sultanah Nora Ismail, Hospital Putra Batu Pahat, Hospital Pantai Batu Pahat, Hospital KPJ Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Yayasan Tunku Laksamana Johor dan Pejabat Pergigian Daerah Batu Pahat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit