Bukan Hanya Prestasi Perbelanjaan Jadi Kayu Pengukur, Paling Penting Rakyat Rasai Manfaat
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan prestasi perbelanjaan berhubung program yang dijalankan di bawah kementerian tidak boleh dijadikan kayu pengukur semata-mata.
Katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Kementerian (MPTK) KKDW Bilangan 1 Tahun 2024 pagi tadi, apa yang lebih penting adalah program dan projek yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
“Namun dalam mesyuarat ini, saya tekankan di dalam mesyuarat tadi prestasi perbelanjaan tidak boleh dijadikan kayu pengukur semata-mata, tetapi yang lebih penting projek dan program dilaksanakan dapat dirasai dan dimanfaati oleh rakyat.
“Justeru itu, saya mahu setiap pemegang taruh yang berada di dalam ekosistem pembangunan luar bandar dapat memastikan setiap program atau projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat disempurnakan sebaiknya dan rakyat akan menerima manfaat dengan segera,” ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam satu perkongsian di Facebook.
Jelasnya, mesyuarat tersebut diadakan bertujuan untuk memperhalusi Prestasi Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW sepanjang tahun ini.
“Saya percaya mesyuarat ini adalah platform yang penting dalam memastikan perancangan, strategi dan pelaksanaan program atau projek kementerian dapat berjalan lancar.
“…dan dengan kehadiran wakil-wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta wakil-wakil kementerian/agensi yang berkaitan saya yakin, dapat memastikan urusan pembangunan desa dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya.
Selanjutnya, Ahmad Zahid berkata bagi tahun ini, KKDW telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM7.44 bilion yang melibatkan 1,763 program/projek dan beliau bersyukur prestasi kementerian menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan. – UMNO ONLINE