Lawatan Ke Kyrgyz Akan Lonjakkan Kerjasama Dagang Antara Kedua-dua Negara

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin lawatan kerja pimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyz akan menyaksikan lonjakan kerjasama dagang antara kedua-dua negara.

Berkongsi di laman X, pertemuan beliau bersama Menteri Ekonomi dan Perdagangan Republik Kyrgyz Amangeldiev Daniyar Joldoshevich membincangkan pelbagai aspek perdagangan dua hala.

“Dalam perjumpaan yang berlangsung lebih sejam, Amangeldiev antara lain menjemput pelabur-pelabur Malaysia untuk mempertimbangkan pelaburan dalam bidang automotif, tenaga dan pelancongan.

“Selain memperincikan kepada rakan sejawat saya kelebihan bekerjasama dengan Malaysia dan kekuatan perdagangan kita, saya turut menjemput beliau menghantar rombongan ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Dubai sebagai permulaan kerjasama dalam industri halal,” ujar Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Terdahulu katanya, selepas pertemuan dua hala antara kedua-dua pucuk pimpinan negara, Perdana Menteri Republik Kyrgyz, Akylbek Zhaparov juga menyatakan hasrat untuk belajar dari Malaysia tentang industri halal dan pengurusan haji.

“Kedua-dua Perdana Menteri turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan berkongsi pengalaman dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Ujarnya lagi, mesyuarat antara delegasi Malaysia dan ketua negara tuan rumah adalah antara agenda paling penting kerana dalam mesyuarat tersebut kedua-dua pemimpin sesebuah negara akan menyuarakan hasrat dan cadangan masing-masing dan keputusan yang dibuat akan membentuk hala tuju kerjasama kedua-dua negara.

Jelasnya, dalam Mesyuarat Delegasi antara Anwar dengan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov yang turut dihadiri beliau sebagai Menteri MITI, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar, Sadyr Japarov telah mencadangkan beberapa perkara yang berkaitan.

Antaranya, dianjurkan majlis dialog antara rantau Asia Tengah dan ASEAN, peningkatan perdagangan dan kerjasama industri halal antara kedua negara, kerjasama dalam usaha pemuliharaan iklim dan ekonomi digital dan juga peningkatan perdagangan kedua negara.

“Insya-Allah perkara-perkara yang dibangkitkan akan dikaji dan dinilai untuk memberikan hasil yang terbaik demi negara dan rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit