Naratif Tepat Dan Jelas Mampu Patahkan Kepelbagaian Persepsi Terhadap UMNO – Khaled

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat naratif yang tepat mampu menjelaskan kepada rakyat kepelbagaian persepsi yang dihujani terhadap UMNO sehingga ke hari ini termasuklah keputusan untuk bersama di dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau persepsi yang masih berlegar cukup besar terhadap UMNO antaranya mengapa berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan bagaimana untuk menguruskan persepsi perasaan orang-orang Melayu apabila parti berkenaan mengambil tindakan tersebut.

“Sekarang ini banyak sangat persepsi dan kita perlu uruskan persepsi ini… siapa yang harus mengambil tugas ini… sama ada tugas ketua-ketua penerangan di bahagian-bahagian termasuklah yang lain.

“Persepsi yang besar terhadap UMNO… mengapa UMNO ada dalam kerajaan masih lagi berlegar, mengapa bersama-sama Dap, bagaimana kita nak urus rasa tercabar orang Melayu bila UMNO mengambil tindakan begini. Ini yang menjadi soal kita dan mesti bangunkan naratif yang tepat.

“Politik pembangunan dan politik kebajikan tidak lagi menjadi perkara yang menangkap sokongan dan imaginasi penyokong ataupun pengundi-pengundi yang terdapat dalam kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO, di sini, hari ini.

Turut serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, Bendahari Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta ketua-ketua Penerangan negeri dan pimpinan bahagian yang lain.

Khaled seterusnya menambah perkara kedua yang perlu diberi perhatian adalah mempromosi kejayaan atau pelaksanaan yang memberi limpahan manfaat untuk kepentingan masyarakat setempat.

“Kita kena uar-uarkan… kalau dahulu kita diminta supaya apa yang diberi tangan kanan jangan tangan kiri tahu tapi tidak lagi zaman ini… zaman sekarang kita kena uar-uarkan prestasi supaya tunjukkan keterlibatan dan kejayaan kita.

“Yang ketiga kita kena bangunkan pesona pemimpin muda dalam kawasan… bangunkan karisma siapa pun dan pimpinan UMNO tak boleh bertahan sampai bila-bila… mesti ada yang akan menggantikannya,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli parti bahawa kedudukan UMNO hari ini tidak sama sepertimana sebelum-sebelum ini dan masih lagi di dalam ‘rawatan’.

“Apa yang kita sedang hadapi hari ini ialah parti kita sakit, kita sedang merawat parti kita dan jika inginkan kejayaan dua faktor yang perlu ada untuk memastikan parti kita lancar serta berkesan dan berjaya mencapai matlamatnya.

“Yang pertama kesetiaan kepada parti… kesetiaan ialah tidak ada matlamat lain… individu ke apa, tak ada… mesti meletakkan kepentingan parti. Kalau ini tak ada susah dan yang kedua, perpaduan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit