Kestabilan Politik… Terjemah Dengan Dasar, Pelaksanaan Kepada Rakyat – Bibi Sharliza

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Hanya dengan kestabilan politik sahaja tidak cukup memberi makna kepada rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Menurut beliau ia perlu diterjemahkan dengan dasar-dasar, pelaksanaan, pembangunan yang perlu dilakukan dengan segera bagi menjamin kesejahteraan dan kehidupan rakyat di negeri ini.

Bibi Sharliza yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan malah berkata pembangunan secara fizikal berkaitan ekonomi, kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan, infrastktur, jaringan komunikasi dan lain-lain perlu disegerakan demi kepentingan rakyat.

“Sebagai contoh di kawasan saya, semasa berlaku banjir, pada Oktober 2023 banyak lagi kerja-kerja baik pulih yang masih belum dapat dilaksanakan.

”Antaranya membina semula braid wall yang runtuh di rumah rakyat padang lebar Juasseh yang melibatkan bahaya kepada rakyat masih belum ada apa-apa kata putus yang kini sudah hampir lapan bulan.

“Saya sangat mengharapkan pembangunan melaksanakan kerja-kerja ini sebelum perkara yang tidak di ingini berlaku semula,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari ketiga Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan yang berakhir semalam.

Beliau dalam pada itu turut memuji langkah kerajaan yang bukan sahaja menguruskan dan melaksanakan pembangunan tetapi juga melalui pembangunan modal insan dan program-program kesejahteraan rakyat.

“Dalam titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga menyentuh Skim Kesejahteraan Rakyat Menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri juga kepada ADUN yang telah sama-sama terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini… skim ini cukup membantu meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan yang telah diberikan.

“Dengan ini, kita sebenarnya mempunyai ramai penggerak-penggerak yang cukup baik dan harus diperkasakan seperti Jabatan Perpaduan yang ada Kawasan Rukun Tetangga (KRT di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ada Kemas dan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK), badan bukan kerajaan sama ada Wanita atau belia yang menyokong kerajaan,” ujar beliau,

Sementara itu Bibi Sharliza turut sama berharap agar jabatan-jabatan serta exco-exco yang memegang portfolio berkenaan menfokuskan dan memperbanyakkan program-program berimpak tinggi dan turun padang bersama ADUN di kawasan.

“Ini untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan lebih berkesan kerana masih ramai lagi, rakyat di negeri ini belum faham tentang hasrat kita, kita perlu sentiasa cakna dengan mereka secara fizikal juga secara digital,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit