Pengundi KKB Pilih Calon Kerajaan Perpaduan Demi Kesinambungan Pembangunan, Pelancongan

KUALA KUBU BHARU, 10 Mei – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dinasihatkan untuk membuat pilihan yang bijak ketika membuang undi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan mengekalkan kawasan ini milik calon Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata masyarakat di situ lebih senang jika calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK agar dapat meneruskan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu terutamanya membangunkan kawasan pelancongan, tempat bersejarah dan taman-taman rekreasi.

Bagi seorang pekerja swasta, Norzamzalina Alias, 44, yang merupakan pengundi mengharapkan calon Kerajaan Perpaduan akan menang agar dapat mempertingkatkan lagi sektor pelancongan dan sebagainya.

“Sekiranya calon ini diberi mandat maka saya harap beliau boleh membangunkan kawasan ini dengan lebih hebat lagi terutamanya dari segi eco-pelancongan, kesan-kesan sejarah dan kawasan rekreasi.

“Saya yakin calon ini mampu meneruskan kesinambungan ADUN lalu. Pengundi di Kuala Kubu Bharu sudah biasa dari ADUN Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sementara itu bagi Khairul Azmi Mahmud, 56, yang berkerja sendiri berkata sekiranya calon Kerajaan Perpaduan diberi mandat maka tentunya akan dapat menambah baik infrastruktur demi kemudahan rakyat.

“Saya mohon calon Kerajaan Perpaduan dapat menambah baik terutamanya infrastruktur seperti hospital dan ia perlu dilaksana kerana penambahan penduduk yang sangat padat. Kami mengharap pada calon Kerajaan Perpaduan dapat memberikan yang terbaik dan apa yang diinginkan oleh pengundi di sini.

“Saya dapati keperluan penduduk di sini terutamanya dari segi perniagaan kerana di kawasan bandar Batang Kali amat terhad dan penambahan infratruktur seperti surau dan tandas bagi para pengunjung serta peniaga, maka saya berharap kepentingan sebegini untuk rakyat diutamakan,” katanya lagi. 

Seterusnya bagi Rosniza Osman, 46, yang merupakan seorang peniaga berharap kemenangan akan berpihak kepada calon Kerajaan Perpaduan agar Pang Sock Tao dapat membuat perubahan di kawasan Kuala Kubu Baharu.

“Sebagai pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu ini, saya harap agar calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao dapat menyumbang serta membuat perubahan untuk rakyat di sini. Sebagai peniaga di kawasan ini harap kawasan parkir diperbanyakkan lagi untuk memudahkan segala urusan,” jelas beliau.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon PH, Pang Sock Tao, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Suat, calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit