UMNO Kedah Harap Lembaran Baharu Beri Manfaatkan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Mei – UMNO Kedah berharap hubungan antara Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terjalin lebih baik demi keharmonian kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat sekaligus untuk manfaat rakyat Kedah secara amnya.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kesediaan Menteri Besar menghulurkan salam kemaafan diharap dapat membuka lembaran baharu demi kepentingan semua pihak.

“Alhamdulillah… Datuk Seri Sanusi telah pun meminta maaf dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia.

“Benar, manusia itu tiadanya maksum. Oleh itu, saya amat berharap hubungan antara Datuk Seri Sanusi dan Perdana Menteri dapat terjalin lebih baik demi keharmonian kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat demi rakyat Kedah secara amnya.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen beliau dalam menambah baik sektor padi dan pertanian di negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi jasa baik Perdana Menteri yang sudah memberikan kelulusan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menukar status kawasan sawah padi bagi kegunaan komersial untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri selain kerajaan persekutuan sudah bersedia meningkatkan peruntukan MADA daripada RM3 billion ke RM5 billion.

“Agensi-agensi kerajaan pusat di negeri seperti MADA, MARA, MARDI, LPPPK perlu sentiasa diberi kepercayaan memantau demi memastikan nasib rakyat Kedah terutamanya golongan petani dan pesawah akan terus dibela.

“Penambahbaikan ataupun ’empowerment’ agensi agensi pusat di negeri perlu sentiasa dilaksanakan demi menangani isu isu semasa yang semakin kritikal contohnya isu kartel beras, isu jualan haram benih padi dan kekurangan benih padi sah.

“Apabila agensi agensi pusat di negeri ini dinaik taraf, ia bukan sahaja akan mampu menyelesaikan pelbagai isu, tetapi juga mampu untuk meningkatkan kualiti pertanian yang sekaligus akan meningkatkan hasil keuntungan petani.” 

Tambahnya lagi sebagai contoh, MARDI berjaya mengenal pasti jenis padi baru yang dapat menahan serangan musuh tanaman di kawasan MADA selain memperkenalkan dua jenis semaian baru.

“Bayangkan jika agensi ini diberikan bantuan lebih, apa yang boleh mereka sumbangkan kepada sektor pertanian. Akhir kata, Kedah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan potensi pertanian dan padi.

“Saya berharap kerajaan akan terus menerus membantu agensi kerajaan pusat di negeri demi kelangsungan rakyat terutamanya golongan petani di Kedah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit