Wanita UMNO Melaka Komited Bantu Kemenangan Calon Kerajaan Perpaduan – Kalsom Noordin

KUALA KUBU BHARU, 8 Mei – Jentera Wanita UMNO Negeri Melaka tetap komited dan sentiasa membantu untuk memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketuanya, Datuk Kalsom Noordin berkata jenteranya bergerak secara proaktif sebaik tempoh kempen bermula dan bertemu pengundi wanita bertujuan meningkatkan undi golongan itu serta mencari seberapa ramai pengundi.

“Jentera Wanita UMNO Negeri Melaka datang membantu untuk memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada PRK bagi DUN N06 Kuala Kubu Bharu.

“Kami telah diarahkan menjaga dua kawasan iaitu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ampang Pechah dan juga Jalan Kuala Kali. Itu adalah tugas dan tanggungjawab Wanita UMNO Negeri Melaka.

“Kempen Wanita UMNO Negeri Melaka sebenarnya amat membantu, kerana wanita mempunyai teknik tersendiri untuk memberi penjelasan dan meraih undi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu menjelaskan Wanita UMNO kukuh, setia dan sentiasa mendukung perjuangan demi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

“Kesetiaan Wanita UMNO sememangnya kuat dan sedia berjuang untuk pastikan kemenangan pada calon Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah, dengan berbekalkan semangat yang ada, jentera wanita UMNO Melaka buat yang terbaik untuk memberikan kemenangan pada N06 ini. Wanita UMNO Melaka boleh lakukan dengan sebaiknya,” jelasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.