Ulang Tahun UMNO ke-78 Diadakan Serentak Di Seluruh Negara – SUA

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini memaklumkan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan di peringkat Pusat, UMNO Malaysia bersama UMNO Wilayah Persekutuan akan menganjurkan secara bersama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

“UMNO akan menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 pada 11 Mei 2024 yang akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri.

“Ibu Pejabat UMNO Malaysia bersama Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yassin dan doa selamat bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, WTC, Kuala Lumpur,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Sambutan ini juga diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli parti dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

Sambutan ini juga antara lain sebagai platfrom memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.