UMNO Tidak Apologetik, Prinsip Perjuangan Tidak Pernah Berubah – Dr Asyraf Wajdi

TANGGA BATU, 29 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO tidak pernah apologetik dalam soal perjuangan khususnya berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu.

Katanya, sekalipun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh Dap namun prinsip perjuangan UMNO tidak pernah berubah.

“Jangan rasa bersalah, jangan apologetik bercakap soal Islam. UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangannya malah akan terus membela agama.

“Walaupun hari ini UMNO berada bersama Kerajaan Perpaduan namun prinsipnya tidak luntur sama sekali sepertimana dakwaan sesetengah pihak dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.

“Dalam hal ini UMNO tidak akan mungkin menggadaikan perjuangan Islam dan Melayunya. Sebab itu UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas asas untuk jaga prinsip-prinsip perjuangan kita,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tangga Batu, di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bersama barisan kepimpinan parti dan ketua-ketua Cawangan serta ahli-ahli UMNO setempat.

 

Jelas Dr Asyraf Wajdi, UMNO tidak pernah mengikut mana-mana telunjuk pihak lain.

“UMNO terus konsisten dalam perjuangan biarpun ketika menjadi pembangkang sehinggakan menganjurkan perhimpunan tolak ICERD apabila Perlembagaan dicabar.

“Matlamat perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan institusi Raja-raja Melayu. Kalau melibatkan Islam, Melayu/Bumiputera kit tidak akan sewenang-wenangnya mengalah.”

Beliau juga menjelaskan bahawa UMNO bukan parti sembarangan, iaitu bukan parti jalanan atau lahir atas rasa kekecewaan.

“UMNO adalah parti yang lahir daripada perjuangan bagi membina negara bangsa dan menyatukan seluruh orang Melayu di tanah air, sedangkan banyak parti-parti politik yang lahir kemudiannya adalah serpihan daripada UMNO iaitu asalnya adalah hasil daripada perjuangan UMNO namun akibat rasa tak puas hati, ada rasa kecewa dan sebagainya keluar meninggalkan parti.”

Sehubungan itu beliau mengajak anggota parti untuk terus dalam tekad mengembalikan kekuatan UMNO.

Ujarnya, biarpun ada pihak yang memfitnah dan mengejek UMNO namun kepimpinan UMNO tidak pernah bertindak sedemikian.

“Pemimpin tidak pernah ajar kita memperlekeh pihak lain. Kita ikhlas berjuang atas nama agama maka jangan sesekali meremehkan perjuangan kita dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

“Perjuangan kita belum selesai dan tidak akan pernah selesai demi agama, bangsa dan tanah air kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit