Rasuah Adalah Rasuah… SPR Dan BERSIH Jangan “Double Standard”


Keputusan PRU-14 Parlimen Cameron Highlands telah dibatalkan sebelum ini apabila calon PH Manogaran memfailkan petisyen menuduh calon BN Dato’ Sivarraajh merasuah pengundi orang asli seramai 36 orang dengan “duit elaun” RM30 seorang berjumlah antara RM1,000 ke RM2,100.

Dalam hal ini tiada gambar atau bukti lain. Hanya keterangan 8 orang saksi termasuk daripada saksi DAP.

Dalam PRK Cameron Highlands pula semalam, pemimpin DAP Lim Kit Siang terpaksa mengakui bahawa PH memberikan “duit minyak” kepada 60 orang asli yang kononnya “sukarelawan” sebanyak RM20 seorang (atau RM1,200).

Ini setelah bukti bergambar kejadian ini tersebar di media sosial.

Susulan itu DAP/PH dan Pengerusi BERSIH membuat kenyataan bahawa “duit minyak” ini bukan rasuah sebab kononnya ia diberi kepada “sukarelawan”.

Pengerusi SPR pula berkata beliau tidak boleh buat apa-apa.

Soalan saya kepada Lim Kit Siang, Pengerusi BERSIH dan Pengerusi SPR:

Pertama: Apa beza “duit minyak” dengan “duit elaun”? Adakah bila BN bagi “duit elaun” ianya rasuah tetapi jika PH bagi “duit minyak” kepada pengundi ianya bukan rasuah?

Dan saya telah dimaklumkan bahawa pengundi-pengundi “sukarelawan” ini telah diangkut dengan bas dan diberi makan. Kalau begitu, buat apa perlu bagi “duit minyak”?

Kedua: Adakah dengan menggelar 60 orang pengundi orang asli itu sebagai “sukarelawan” tiba-tiba duit yang diberi bukan menjadi rasuah?

Kalau begitu setiap kali PH mahu merasuah pengundi, mereka boleh menggelar pengundi ini “sukarelawan” walaupun kerja “sukarelawan” mereka ini cuma datang program kempen PH dan keluar mengundi PH.

SPR dan BERSIH perlu siasat perkara ini dan bukan terus ambil mudah dan cepat buat kenyataan cetek.

Ini adalah satu perkara yang serius dan bukan main-main yang hanya boleh dilepas batuk di tangga kerana ia akan dijadikan contoh dan piawaian untuk pilihanraya-pilihanraya yang akan datang.

Dan satu lagi, sebenarnya mengikut Undang-undang, Pengerusi SPR boleh berbuat sesuatu ke atas perkara ini sebab tuduhan di atas adalah tertakluk di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya (Perkara 9: Pengaruh Tidak Wajar dan Perkara 10: Penyogokan) di mana SPR boleh menyiasat dan meminta Peguam Negara untuk mendakwa.

SPR dan BERSIH perlu telus dan adil dalam perkara ini dan tidak bertindak “double standard” apabila tuduhan atau kesalahan dilakukan oleh pihak parti Kerajaan PH.

Rasuah adalah rasuah, sama ada seringgit atau seribu. Ia perlu diambil tindakan.

ISHAM JALIL
Presiden Sukarelawan Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.