Kerjasama Semua Pihak Perlu Untuk Capai Sifar Kemiskinan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 20 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak agar bekerjasama dalam memobilisasi usaha bagi memastikan kemiskinan benar-benar dapat disifarkan dan tidak dibebankan ke atas kerajaan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata ini termasuk badan bukan kerajaan (NGO), tokoh individu, gerakan swadaya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti perniagaan.

“Peranan menoktahkan kemiskinan ini tidak hanya perlu dibebankan ke atas kerajaan sebaliknya kita semua bertanggungjawab untuk bekerjasama dalam menjayakannya.

“Golongan B40 yang rentan dan rapuh serta yang memerlukan pertolongan mesti dibantu agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan lebih-lebih lagi golongan tersebut berisiko menghadapi tekanan emosi dan mental,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii.

Memetik nilai ‘Ihsan’ dalam konsep Malaysia Madani, Ahmad Zahid berkata Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dilaksana memberi kesan terhadap penurunan jumlah isi rumah dalam kategori miskin tegar kepada 18,000 keluarga seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

Beliau berkata kerajaan turut mewujudkan pelbagai insentif antaranya Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil.

Bagi peringkat kementerian pula, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengusulkan agar gerakan koperasi negara perlu bergerak secara bersepadu menerusi pembentukan satu gabungan atau federasi untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ia kini penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta yang menyaksikan jumlah keanggotaan 7.3 juta dengan modal syer serta yuran terkumpul sebanyak RM16.5 bilion.

Pada 30 Julai lalu, Ahmad Zahid menyeru agar gerakan koperasi di Malaysia bergerak secara bersepadu untuk membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar dan berharap ia dapat terlibat secara serius ke arah merealisasikan ikhtiar kerajaan menurunkan harga barang keperluan asas seperti gula, tepung serta minyak masak.

Kongres anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan dan Benevolent Malaysia dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan serta Universiti Tenaga Nasional itu menghasilkan satu resolusi iaitu ‘Peranan Sektor Ketiga bersama Menoktah Kemiskinan di Malaysia.’

Antara lain resolusi itu mengesyorkan agar peranan sektor ketiga seperti NGO, GLC serta tokoh individu terus diperkasa untuk bersama-sama membentuk jaringan di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam usaha menoktahkan kemiskinan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit