UMNO Kekal Dengan Prinsip Asas Perjuangan, Tidak Pernah Hilang Arah – Mahdzir

ALOR SETAR, 16 Nov – UMNO tetap kekal dengan prinsip asas perjuangannya serta tidak pernah hilang arah, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya dalam konteks negeri Kedah, akar umbi juga kekal setia bersama parti walaupun menerima kesan yang paling buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan ia dapat dilihat tiada cawangan UMNO yang dibubar selepas itu.

“Sekarang ini sebagai sebuah parti politik yang telah wujud sebelum merdeka sehinggalah merdeka, saya kira ini bukanlah bermakna parti UMNO sudah hilang arah… tiada… parti UMNO kekal dengan perjuangannya demi bangsa dan agama.

“UMNO masih mempunyai ahli-ahli parti yang kental yang mahu untuk meneruskan perjuangan. Untuk di Kedah ini ada 15 bahagian UMNO dari Langkawi sampailah Kulim Bandar Baharu. 2,280 cawangan UMNO masih kekal tidak bubarpun… takdelah Ketua Cawangan kata kepada Ketua Bahagian untuk bubar cawangan,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui selepas program Retreat UMNO Negeri Kedah baru-baru ini.

Apa yang penting tambahnya, adalah penerangan dan pemahaman kepada akar umbi mengenai kerjasama UMNO dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Kita kena ada (pemahaman) bukan sahaja di peringkat pimpinan bahagian malah sampai kepada ahli di akar umbi. Kita kena dukung dalam satu perjuangan.

“Tak lari prinsip, perjuangan ada, dukungan ada, dan yang paling penting semua orang ada semangat hendak bersama dalam perjuangan,” katanya lagi.

Ulasnya juga, momokan pihak lawan bahawa UMNO bukan lagi sebagai sebuah parti yang membela Melayu dan Islam juga menjadi salah satu faktor penolakan rakyat.

“Dalam kempen, ceramah mereka dari awal sampai dalam pilihan raya itu mereka fokus bahawa seolah-olah tiada lagi parti yang boleh menolong orang Melayu. Jadi dalam ‘Malay Belt’ seperti Kedah yang majoritinya Melayu melihat bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah satu tempat dan organisasi Melayu.

“Jadi bila dah campur Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mereka memomokkan cerita-cerita yang UMNO ini telah lari dari perjuangan. Kitapun dalam tempoh enam tujuh bulan tidak sempat nak ‘explain’ sepenuhnya tentang Kerajaan Perpaduan sebab kekangan masa, selepas pilihan raya kita ada pemilihan parti,” katanya.

Begitu juga katanya mengenai kerjasama UMNO/BN dan PH yang turut dianggotai parti Dap di dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadi naratif dakyah pihak lawan dan ia perlu diberi penjelasan dan pemahaman yang secukupnya kepada akar umbi.

“Jadi bila datang yang terbaru ini, berkaitan UMNO dengan Dap ini, maknanya penerangan mestilah dibuat secara berterusan, berkala dan kumpulan sasar yang betul. Kumpulan sasar yang betul.

“Jadi kita kena buat penerangan kepada golongan muda, memberi maklumat kepada golongan dewasa, tapi cara nak beri maklumat pun kena ada kaedah. Modul kepada penerangan itu pun nak kena betul, mungkin boleh pakai satu dua modul,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.